United dikaitkan dengan perpindahan Morata dari Santiago Bernabeu, namun laporan mengatakan bidaan awal gergasi Liga Perdana Inggeris itu minggu lalu iaitu 60 juta euro (RM286.04 juta) ditolak oleh Real.

Morata, 23, memanaskan lagi keadaan apabila memberi ba­yangan dia berminat menyertai United selepas mengikuti Instagram kelab berkenaan pada Ahad lalu, malah ejen Morata, Juanma Lopez me­ngakui, Old Trafford adalah opsyen yang menarik.

“Manchester Uni­ted? Mereka adalah kelab hebat dan penuh dengan glamor. Pilihan yang sangat menarik.

“Saya boleh katakan, tawaran mereka sangat, sangat penting dan sekarang terpulang kepada Real untuk membuat keputusan.

“Saya tidak boleh kata (perjanjian hampir akan dimeterai), tetapi kita tunggu dan lihat,” kata Lopez kepada Calciomercato.com.

Gergasi Serie A, AC Milan turut berminat untuk mendapatkan Morata, namun Lopez mendedahkan, minat yang ditunjukkan tidak kekal lama apabila kelab itu akhirnya menandatangani penyerang Porto, Andre Silva.

“Ya, mereka ba­nyak kali menghubungi kami sehinggalah beberapa hari lalu. Itu sahaja yang dapat saya sahkan.

“Ia mudah sahaja, Real Madrid menganggap tawaran Rossoneri (AC Milan) kurang memuaskan,” katanya lagi.

Morata hanya beraksi dalam 14 perlawanan La Liga musim lalu dan Lopez minggu lalu mendedahkan, penyerang tersebut mahu mencari pasukan yang mampu memberikan peranan lebih besar kepadanya. –AGENSI