Skuad Bujang Senang itu sudah mula menunjukkan persefahaman yang mantap walaupun hanya membariskan pemain tempatan yang kebanyakannya berusia dalam lingkungan 20-an.

Ketua Pasukan Sarawak, Mohd. Fadly Kassim berkata, moral rakan pasukannya ketika ini begitu tinggi untuk berdepan saingan Felda United Isnin ini.

Bagaimanapun menurutnya, beliau berharap rakan sepasukannya dapat melupakan kenangan manis menumpaskan Angkatan Tentera buat seketika dan sebaliknya menumpukan tanggungjawab mereka terhadap pasukan.

''Dengan semangat 'agi idup agi ngelaban' kita merasakan tidak ada yang mustahil bagi Sarawak untuk menjadi pasukan utama mencabar saingan juara Liga Perdana musim ini," katanya pada sidang akhbar di sini, semalam.

Turut hadir, Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) , Mohamad Abu Bakar Marzuki dan ketua jurulatihnya, Robert Alberts.

Sarawak yang hanya mengekalkan khidmat 10 pemain lama dari pasukan tahun lalu berdepan cabaran Felda United di Stadium Negeri, Petra Jaya esok pukul 4 petang.

Fadly berkata, kemenangan dua perlawanan sebelum ini perlu dijadikan ukuran kepada peminat setia 'Ngap Sayut' untuk terus bertandang ke Stadium Negeri bagi memberi sokongan kepada pasukan kesayangan mereka.

Tegasnya, bagi menarik kehadiran semula penyokong Bujang Senang, beliau berharap rakan sepasukannya dapat menunjukkan komitmen 100 peratus pada setiap latihan dan perlawanan serta menunjukkan semangat ingin menang ke atas setiap perlawanan.

''Kalau kita terus mengikut arahan jurulatih, saya yakin Sarawak mampu memberi saingan utama kepada kejuaraan Liga Perdana musim ini sekali gus menarik kehadiran penonton setia kami ke stadium," katanya.

Sementara itu, Alberts berkata, beliau berharap pasukannya akan terus menunjukkan prestasi sebagaimana yang ditunjukkan pada dua perlawanan sebelum ini.