Menurutnya, Perak merupakan pasukan yang amat bagus dan kemenangan ke atas pasukan itu merupakan misi utama mereka bagi meneruskan penguasaan di puncak Liga Super.

“Mereka (Perak) mempunyai pemain yang bagus jadi perlawanan esok pastinya sengit, oleh yang demikian kami mengharapkan sokongan penuh daripada penyokong.

“Stadium yang penuh dengan penyokong amat penting bagi menaikkan semangat juang pemain dalam usaha memburu tiga mata penuh,” ujarnya ketika dihubungi di sini hari ini.

JDT kini menghuni kedudukan teratas liga dengan 42 mata selepas mengharungi 17 perlawanan dengan Kedah mengekori rapat di kedudukan kedua dengan 31 mata.

Harimau Selatan bagaimanapun mungkin beraksi tanpa beberapa pemain utama ekoran masalah kecederaan ataupun kecergasan, namun jurulatih dari Portugal itu menegaskan isu berkenaan tidak menjadi masalah kerana mereka mempunyai pemain lain yang mampu mengisi kekosongan tersebut.

“Bukan mudah kerana jadual liga ketika ini agak padat dengan perlawanan demi perlawanan dalam tempoh yang singkat.

“Namun kami yakin mampu mencatat keputusan baik sekiranya pemain mendapat rehat dan mengikuti latihan kecergasan dengan secukupnya bagi menghadapi perlawanan ini,” katanya.