Sanchez hanya menjaringkan satu gol dalam lima perlawanan sejak berpindah dari Arsenal, bulan lalu, tetapi pemain tersebut berjaya menambah sengat di bahagian serangan skuad bimbingan Jose Mourinho.

Dia membuktikan kualitinya apabila melakukan hantaran cantik kepada Romelu Lukaku untuk gol kedua sewaktu United meraih kemenangan 2-0 di Huddersfield Town pada pusingan kelima Piala FA, Ahad lalu.

“Bagaimana kami hendak menyekat Sanchez? Saya tidak tahu, kami perlu menghalang dia dalam apa sahaja cara, mungkin mengikat dia dengan tali.

“Dia seorang pemain yang hebat, saya pernah melihatnya bermain di Itali. Dia telah mempamerkan peningkatan yang begitu ketara dalam kariernya. Sanchez seorang pemain yang laju, mampu mengetuai serangan balas dan sangat kuat,” kata Montella, 43, pada sidang akhbar, hari ini.

Sementara itu, Mourinho berkata, Sanchez telah memilih untuk menyertai United pada pertengahan musim, bagi membolehkannya beraksi di peringkat kalah mati Liga Juara-Juara, yang mana jika pemain tersebut masih bersama Arsenal, dia tidak mampu berbuat demikian kerana Gunners bermain dalam Liga Europa, penggal ini.

“Alexis boleh sahaja menunggu sehingga jendela perpindahan musim panas di buka, tetapi di atas satu alasan, kehadirannya beraksi di peringkat ini dalam Liga Juara-Juara telah menjadi satu tarikan.

“Kami bersama pemain terbaik antara yang terbaik. Sebab itu, Alexis mahu menyertai kami pada Januari, untuk bermain pada pertandingan ini,” kata pengurus warga Portugal itu. - REUTERS