Dalam sejarah kejohanan kelab elit Eropah itu, hanya dua pasukan berjaya melepasi separuh akhir selepas tumpas dalam perlawanan pertama iaitu Ajax Amsterdam menentang Panathinaikos pada 1996 dan Inter Milan bertemu Bayern Munich pada 2011.

Monaco, yang merupakan kelab Perancis terakhir beraksi di final Liga Juara-Juara iaitu ketika tewas kepada skuad bimbingan Jose Mourinho, Porto pada 2004 juga perlu meleburkan rekod empat tahun tanpa kalah Juventus di laman sendiri, selain menamatkan rekod tanpa bolos gergasi bola sepak Itali itu dalam enam perlawanan berturut-turut.

Skuad bimbingan Leonardo Jardim itu tidak pernah memenangi perlawanan di Itali dalam tujuh percubaan, malah Juventus memegang rekod hebat apabila berdepan wakil Perancis dengan memenangi semua 11 perlawanan mereka di peringkat kalah mati, dua daripadanya ke atas Monaco.

Kedua-dua pasukan mendahului liga masing-masing dan di ambang untuk merangkul kejuaraan, malah Juventus juga turut melayakkan diri ke final Piala Itali, sekali gus meletakkan skuad Old Lady di landasan memburu gelaran treble musim ini.

“Kami perlu kekal yakin, cuba bermain permainan sendiri dan menunjukkan persembahan yang bagus. Jika kami berjaya mendapatkan gol di awal permainan, ia mungkin mampu merubah ba­nyak perkara,” kata Jardim, yang membawa pasukannya membenam Nancy dalam saingan Ligue 1, Sabtu lalu.

Penyerang remaja sensasi, Kylian Mbappe, 18, antara ‘harta terhangat’ bola sepak Eropah ketika ini sekali lagi menjadi sandaran Monaco untuk menembusi benteng kebal Juventus yang diketuai penjaga gol terbaik dunia, Gianluigi Buffon.

Mbappe yang telah meledak 18 gol dalam 20 perlawanan kompetitif akan berganding dengan seorang lagi penyerang berbahaya, Radamel Falcao dari Colombia.

Juventus pula belum pasti dapat menurunkan penyerang berbisa Argentina, Paulo Dybala yang kelihatan terhincut-hincut ketika pasukan itu seri 1-1 dengan Torino dalam aksi Serie A, Sabtu lalu tetapi jurulatih, Massimiliano Allegri menegaskan ia cuma kekejangan biasa.

“Ini adalah perkara normal yang berlaku kepada pemain ketika saingan menuju penghujung musim, tiada apa yang serius,” kata Allegri.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Monaco, Allegri memberi amaran kepada pemainnya agar tidak terlalu yakin hanya kerana berjaya memenangi perlawanan pertama di tempat lawan.

“Monaco memiliki ramai pemain berbakat dan kami belum mengesahkan kemaraan. Jadi, kami perlu menang perlawanan kedua,” katanya.

Rakan senegara Dybala, Gonzalo Higuain yang meledak gol penyamaan lewat minit ketika berdepan Torino bakal mengetuai jentera serangan di Turin, esok. – REUTERS