Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS), Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri berkata, Mohd. Zan dipilih daripada lima nama yang disenarai pendek oleh persatuan itu untuk menjadi jurulatih pasukan berkenaan.

Beliau yang juga Tunku Besar Tampin berkata, PBNS menawarkan kontrak selama setahun kepada Mohd. Zan bagi jawatan berkenaan.

"Secara kebetulan beliau adalah anak jati negeri ini dan kami berharap beliau dapat memberi sumbangan yang terbaik walaupun kita akan bemain dalam Liga Perdana tahun depan.

"Tumpuan akan diberikan kepada perkembangan sukan bola sepak di peringkat akar umbi sebagai hala tuju utama dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis menandatangani kontrak jurulatih pasukan Liga Perdana Negeri Sembilan antara Mohd. Zan dan PBNS di sini hari ini.

Turut menandatangani kontrak ialah bekas jurulatih Liga Premier Negeri Sembilan pada 2003, Mohamad Zaki Sheikh Ahmad sebagai penolong jurulatih pasukan berkenaan.

Mohd. Zan membawa Melaka United menjuarai Liga Perdana pada 2016 dan skuad Sang Kancil menjuarai Liga FAM sebelum itu.

Negeri Sembilan tersingkir ke Liga Perdana selepas menduduki tangga tercorot Liga Super musim ini dengan mengumpul 15 mata dalam 22 perlawanan.

Pasukan itu mengalami 15 kekalahan, seri (tiga kali) dan menang (empat kali). - UTUSAN ONLINE