Menjelang pertemuan di Stadium Delta Sidoarjo, pengendali skuad Indonesia B-16, Fakhri Husaini menasihatkan penyokong tuan rumah agar memberi sokongan dengan semangat kesukanan tinggi.

Indonesia juga mengambil inisiatif untuk meredakan ketegangan dengan menjemput pasukan Malaysia makan tengah hari bersama beberapa pemain skuad negara itu hari ini dalam majlis yang turut disertai oleh media tempatan.

Selain Fakhri dan beberapa pemain tuan rumah, jurulatih skuad Malaysia B-16, Raja Azlan Shah Raja So’ib serta beberapa anggota pasukan negara turut menghadiri majlis berkenaan.

“Kami mengharapkan sokongan dan doa penyokong Indonesia, namun kami juga tidak mahu kejohanan ini dicemari. Sokonglah kami dengan semangat kesukanan agar kami boleh mencatat keputusan terbaik. Ini pertandingan bola sepak peringkat umur bawah 16 tahun, bukan senior.

“Anak-anak ini adalah aset bola sepak kita di masa depan yang harus dijaga. Saya menyeru kepada penonton agar dapat menghargai pasukan kita, pasukan lawan dan penyokong yang lain, baik sebelum, ketika dan selepas perlawanan.

“Jangan sampai kreativiti dan perkara positif lain yang telah mereka lakukan sebelum ini tercalar gara-gara tindakan sesetengah pihak yang mampu merugikan semua orang, atau lebih buruknya sehingga Indonesia dikenakan tindakan oleh AFC (Konfederasi Bola Sepak) dan FIFA (Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa),” kata Fakhri dalam pertemuan itu.

Pada 12 Julai lalu, skuad bawah 19 tahun (B-19) Malaysia berdepan detik cemas dalam Kejohanan B-19 AFF apabila dibaling dengan objek keras oleh penyokong Indonesia yang tidak berpuas hati dengan kejayaan pasukan negara menewaskan skuad mereka di Stadium Delta Sidoarjo.

Pada 30 Julai lalu, penyokong Indonesia menyerang pasukan negara dengan nyanyian kesat apabila menggelar Malaysia sebagai ‘anjing’ ketika anak-anak buah Raja Azlan Shah berdepan Thailand dalam aksi pembukaan Piala AFF B-16.

Akibatnya, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menghantar surat bantahan rasmi kepada AFC dan AFF.

Aksi separuh akhir Indonesia dan Malaysia esok bakal berlangsung pada pukul 8 malam waktu Malaysia. - UTUSAN ONLINE