Selepas sedekad didominasi oleh Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi, ramai yang menjangkakan Modric bakal memecah dominasi dua figura besar dalam bola sepak dunia itu dalam upacara yang bakal berlangsung di Royal Festival Hall.

Kejayaan membawa Croatia muncul naib juara Piala Dunia, selain membantu Real melakar kejuaraan Eropah kali ke-13 meletakkan Modric sebagai pilihan untuk mengetepikan Ronaldo serta seorang lagi calon akhir iaitu bintang penyerang Mesir dan Liverpool, Mohamed Salah.

Buat kali pertama sejak 2007, bintang penyerang Barcelona dan Argentina, Lionel Messi gagal menempatkan diri dalam senarai calon akhir.

Sejak 2008, Ronaldo dan Messi silih berganti memenangi anugerah Pemain Terbaik Dunia, yang mana masing-masing telah dinobat sebagai pemenang lima kali.

Ada beberapa faktor yang dilihat meletakkan Modric, 33, sebagai pilihan untuk memenangi anugerah kali ini. Pertama dia adalah Pemain Terbaik Piala Dunia 2018, malah perancang utama Croatia itu juga dipilih sebagai Pemain Terbaik Eropah, bulan lalu.

Sementara itu, Ronaldo, 33, tidak akan hadir di London hari ini, biarpun bintang penyerang Portugal itu turut dicalonkan untuk anugerah Puskas iaitu jaringan tercantik dunia.

Menurut media Itali, Ronaldo memilih untuk tidak hadir kerana pasukannya, Juventus mempunyai perlawanan, Rabu ini, malah masih kepenatan selepas beraksi dalam saingan Serie A, Ahad lalu.

Begitupun, ramai yang mempersoalkan tindakan Ronaldo itu kerana kebanyakan pemain Real dan Barcelona dikatakan akan hadir sekali pun mereka turut mempunyai perlawanan pada Rabu.

Akhbar Sepanyol, Marca percaya, keputusan Ronaldo untuk tidak hadir disebabkan dia menjangkakan anugerah kali ini akan berpihak kepada bekas rakan sepasukannya, Modric. - AGENSI