“Kami sentiasa menerima soalan yang sama jadi kami memberi jawapan yang sama,” kata pemain tengah Croatia, Ivan Perisic.

Modric dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan sebanyak tiga kali daripada lima perlawanan sebelum membawa pasukannya mara ke peringkat separuh akhir dan akan bertemu England di Moscow pada Rabu ini.

Pemain berusia 32 tahun itu meledak dua gol ketika menewaskan Rusia termasuk jaringan cantik sewaktu menewaskan Argentina 3-0 di peringkat kumpulan. Dia juga menjaringkan dua gol penalti ketika menentang Denmark dan Rusia.

Ketenangan yang dimiliki arkitek Real Madrid itu cukup memukau kerana walaupun gagal menyempurnakan penalti pada masa tambahan ketika menentang Denmark di peringkat kalah mati namun tetap berjaya menyempurnakan penalti selepas perlawanan itu diheret ke penentuan penalti.

Sekiranya berjaya membawa Croatia menjulang Piala Dunia buat kali pertama, Modric antara pemain yang layak menerima anugerah Ballon d’Or kerana di peringkat kelab dia juga cemerlang apabila membantu Real memenangi Liga Juara-Juara empat kali dalam tempoh lima tahun.

“Saya sudah lama mengenali Luka, bukan kerana kami bermain dalam skuad kebangsaan. Kami pernah mewakili kelab yang sama. Dia memang layak untuk menerima penghargaan daripada media dan penyokong. Dia bekerja keras untuk ke tahap ini.

“Dia kapten kami, ketua kami dan kami mengikuti arahannya dan jika pasukan dapat memperoleh keputusan positif dia sememangnya layak menerima Ballon d’Or. Saya mahu anugerah itu diberikan kepadanya,” kata penyerang Croatia, Mario Mandzukic yang beraksi bersama Modric di Dinamo Zagreb sedekad yang lalu sebelum rakannya itu menyertai Tottenham Hotspur.

Modric terpaksa berdepan beberapa kegagalan sebelum ini apabila gagal menyempurnakan penalti ketika tewas kepada Turki dalam aksi suku akhir Kejohanan Eropah (Euro) 2008. Dua tahun lalu mereka tersingkir di peringkat kalah mati apabila gawang gol dibolosi pada saat akhir permainan ketika bertemu Portugal.

“Kami melalui jalan yang sukar. Nasib sering tidak menyebelahi kami dalam beberapa kejohanan sebelum ini namun sekarang kami mahu melunaskan hutang itu pada tahun ini,” kata Modric. – AFP