Meskipun tewas 4-3 di Stadium Etihad, Tottenham layak ke peringkat separuh akhir menerusi kelebihan jaringan apabila perlawanan berakhir dengan keputusan 4-4 secara agregat.

Sistem video bantuan pengadil (VAR) menjadi pemisah buat kedua-dua pasukan di Manchester, selepas pengadil perlawanan, Cuneyt Cakir, menolak keputusan bola terkena tangan Fernando Llorente untuk gol ketiga Spurs pada minit ke-73.

Raheem Sterling turut berasakan dia telah menjaringkan hatrik dalam masa kecederaan, namun percubaannya telah dibatalkan oleh VAR kerana Sergio Aguero berada dalam kedudukan ofsaid.

“Ia merupakan satu pencapaian yang bermakna untuk kami. Ini merupakan kali pertama saya beraksi dalam suku akhir UCL dan kini sudah melangkah ke separuh akhir.

“Saya sangat berbangga kerana menjadi sebahagian daripada pasukan ini. Sukar untuk mempercayai kejayaan ini tetapi misi kami masih belum berakhir,” katanya Heung-min yang meledakkan dua gol dalam tempoh tiga minit.

Dalam perlawanan itu, 10 minit pertama menyaksikan empat gol berjaya dihasilkan, Sterling membuka jaringan sebelum Heung-min meledak dua gol namun Bernardo Silva menyamakan kedudukan.

Sterling sekali lagi meletak City di hadapan 3-2 pada minit ke-21 sebelum Aguero menjaringkan gol keempat pasukan untuk memberikan kelebihan jaringan ke atas Spurs.

Bagaimanapun, jaringan kontroversi Llorente ketika perlawanan berbaki 17 minit memastikan skuad bimbingan Mauricio Pochettino menempah slot ke separuh akhir untuk berdepan Ajax. - AGENSI