Sepakan kelima oleh pemain kebangsaan Haindree Mosroh yang menewaskan penjaga gol Sabah, Nurul Azurin Mazlan menjulang MIFA selaku juara selepas perlawanan 90 minit berakhir dengan kedudukan terikat 1-1 di Padang Universiti Kebangsaan Malaysia, Bangi, Selangor.

Turut berjaya menyudahkan penentuan penalti ialah ketua pasukan MIFA, Eslilah Esar dan Rozeini Dusileh yang kedua-duanya juga pemain negara manakala sepakan penalti Sabah disempurnakan oleh Zaffeka Zakaria dan kaptennya Jaciah Jumilis.

MIFA yang turut diperkuatkan 10 pemain berpengalaman antarabangsa, terlebih dahulu dikejutkan lawan yang dibarisi skuad bawah 16 tahun Malaysia apabila Nor Athirah Mamat memanfaatkan kesilapan penjaga gol Asma Junaidi untuk mencipta jaringan pada minit ke-45.

Ketika Sabah kian tertekan akibat diasak bertalu-talu sebaik sahaja babak kedua bermula, Sihaya Azad menyelamatkan MIFA menerusi jaringan penyamaan minit ke-59 ekoran keadaan kelam-kabut di depan gawang lawan.

Selaku juara, MIFA mengaut RM20,000 manakala Sabah yang terpaksa melepaskan trofi yang kali terakhir dimenanginya pada 2004, beroleh RM10,000 sementara Polis Diraja Malaysia meraih RM5,000 selepas menumpaskan Sarawak 4-1 dalam penentuan tempat ketiga.

Aksi cemerlang Nurul Azurin yang menyelamatkan tidak kurang lima percubaan ke gawang oleh MIFA khususnya dalam babak ke­dua, menobatkannya selaku Pemain Terbaik Perlawanan Akhir.

Sabah yang dibimbing oleh Smith M. Ampuling juga wajar berpuas hati dengan satu lagi sagu hati apabila Nur Athirah bergelar pemenang Kasut Emas selaku penjaring terbanyak kejohanan dengan 12 gol.

“Saya puas hati bercampur sedih juga kerana menang tetapi de­ngan mengalahkan pasukan negeri kelahiran. Agak lain juga rasanya apabila mewakili MIFA namun bagi saya, pemain remaja Sabah tetap memberikan tentangan terbaik,” kata Eslilah.