Semua penyokong Mexico kelihatan muram sepanjang 90 minit permainan selepas jaringan Ludwig Augustinsson (minit ke-50) dan penalti Andreas Granqvist pada minit ke-62 meletakkan Sweden mendahului 2-0.

Gol sendiri Edson Alvarez pada minit ke-74 memburukkan lagi keadaan buat skuad bimbingan Juan Carlos Osorio yang hampir berputus asa, sebelum ‘mood’ mereka bertukar sebaik sahaja menerima perkhabaran tidak diduga dari Kazan apabila Korea Selatan meledak dua gol pada waktu kecederaan untuk menyingkirkan juara bertahan, Jerman.

Sweden, yang sebelum ini menjadi pemusnah Itali untuk melangkah ke pusingan akhir Piala Dunia membuktikan mengapa mereka layak beraksi di Rusia apabila mempamer permainan jauh lebih tersusun ketika menumaskan Mexico.

Skuad Blagult tampak bahaya dengan banyak melakukan hantaran-hantaran silang yang memaksa penjaga gol Mexico, Guillermo Ochoa bekerja keras sepanjang perlawanan.

Kemenangan membolehkan Sweden muncul juara Kumpulan F dengan berkongsi enam mata bersama Mexico, namun dipisahkan oleh perbezaan gol.

Selaku juara kumpulan, mereka kini akan bertemu naib juara Kumpulan E - sama ada Brazil, Switzerland atau Serbia dalam peringkat 16 akhir di Stain Petersburg, 3 Julai ini. - AGENSI