Pemain berusia 25 tahun itu menjadi pilihan untuk mengetepikan saingan daripada rakan sepasukan dalam Barcelona, Andres Iniesta dan pemain tersohor Real Madrid, Cristiano Ronaldo

Jika anugerah itu memihak kepadanya, pemain Argentina akan memahat satu lagi kejayaannya selepas menjadi penjaring terbanyak La Liga musim ini dengan 25 gol dan memecah rekod Gerd Mueller yang berusia 40 tahun selaku penjaring terhebat sepanjang tahun.

Messi menutup tirai 2012 dengan menjaringkan sebanyak 91 gol dalam semua pertandingan.

Pun begitu, buat Messi, rekod jaringannya tidak bermakna jika Barcelona gagal merampas gelaran juara La Liga daripada Real atau gagal menjuarai Liga Juara-Juara.

‘‘Seronok bila dapat memecahkan rekod, namun apa yang lebih penting adalah membantu kemenangan pasukan, Jaringan saya adalah untuk membantu pasukan memenangi gelaran Liga Sepanyol, Piala Sepanyol atau Liga Juara-Juara. Itu yang lebih diutamakan daripada kemenangan peribadi.

‘‘Jika Iniesta menang, ia sewajarnya dengan apa yang telah dibuatnya (Iniesta) selama ini. Malah, ia akan menjadi hadiah buat kami (Bacelona),’’ kata Messi.

Messi dan bekas bintang Perancis yang kini adalah Presiden UEFA, Michel Platini menjadi satu-satunya pemain menang anugerah Ballon d’Or tiga kali berturut-turut.

Bekas bintang Belanda, Johan Cruyff dan Marco Van Basten turut menjadi antara pemenangnya.

Malah, jurulatih Barcelona, Tito Vilanova tidak ragu-ragu Messi merupakan pemenang pilihan.

‘‘Kualiti permainan Leo ibarat ketika zaman kanak-kanak. Semasa itu, dia (Messi) begitu hebat. Anda tidak perlu menjadi jurulatih untuk mengakuinya. Sungguh teruja menyaksikan permainannya ketika Leo berusia 15 tahun dan persembahan hebat itu berterusan sehingga sekarang,’’ ujar Vilanova.

Sementara itu, kapten skuad Portugal, Ronaldo mengakui bahawa dia begitu bersungguh-sungguh mengharapkan kemenangan ini, tetapi ia tidaklah bermakna dunianya akan berakhir jika kemenangan itu berpihak kepada orang lain.

‘‘Jika saya menang, itu amat baik tetapi jika berlaku sebaliknya, saya tidak terkilan dan hidup mesti diteruskan. Namun, terus-terang saya berhajat memenanginya. Saya tidak hipokrit.

‘‘Soal adil atau tidak. Keputusan akan tetap dibuat. Saya mungkin gembira atau sangat sedih. Namun, itulah kehidupan. Saya tidak boleh hidup berdasarkan kemenangan individu,’’ kata pemain Real berusia 27 tahun itu yang juga pemenang Ballon d’Or edisi 2008.

Selain itu, antara senarai calon untuk anugerah lain ialah Vicente Del Bosque, yang memimpin kemenangan Sepanyol dalam Euro 2012 bagi jurulatih terbaik.

Dia akan bersaing dengan pengurus Real Madrid, Jose Mourinho dan bekas pengurus Barcelona, Pep Guardiola.

Dalam kategori wanita, pemenang lima kali dari Brazil, Marta akan bersaing dengan pemain Amerika Syarikat, Aby Wambach dan Alex Morgan. - AFP