Penyerang Barcelona dan Argentina itu menerima undian 41.33 peratus, diikuti pe­nyerang Portugal dan Real Madrid, Ronaldo dengan 27.76 peratus.

Penyerang Brazil dan Barcelona, Neymar di tangga ketiga menerusi 7.86 peratus undi.

“Detik ini cukup istimewa buat saya dapat kembali berada di atas pentas, memenangi Ballon d’Or sekali lagi selepas sekadar menjadi penonton me­nyaksikan Cristiano memenangi anugerah tahun lalu.

“Ia merupakan satu pencapaian luar biasa memandangkan kemenangan ini adalah untuk kali kelima,” kata Messi.

Jurulatih Barcelona, Luis Enrique dipilih sebagai jurulatih terbaik, sementara pemenang Piala Dunia dari Amerika Syarikat, Carli Lloyd, yang meledak hatrik pada perlawanan akhir menentang Jepun, dinamakan sebagai pemain terbaik wanita.

Bermula sebagai anugerah Pemain Terbaik Dunia FIFA 1991, sebelum ditukar kepada Ballon d'Or setelah digabungkan penganjurannya dengan anugerah Pemain Terbaik Perancis pada 2010.

Anugerah itu yang dikongsi secara eksklusif antara Messi dan Ronaldo, sejak bintang Brazil, Kaka memenangi gelaran tersebut pada 2007, telah dipromosi secara besar-besaran oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dan di­siarkan di 190 buah negara dengan 1,100 tetamu termasuk pemain dan jurulatih turut hadir.

Namun, bukan semua orang menyokong penganjuran anugerah tersebut apabila mereka melemparkan kritikan, seperti pengurus Arsenal, Arsene Wenger yang menyifatkan anugerah itu tidak sesuai dengan acara berpasukan.

“Saya musuh ketat Ballon d’Or. Siapa yang akan memenangi anugerah itu? Anda pasti tahu se­perti mana saya dan sudah tentulah Messi yang akan memenanginya. Saya juga berfikiran begitu. Secara keseluruhan saya bukanlah peminat anugerah ini,” kata warga Perancis itu.

Pecahan undian untuk anugerah tersebut turut didedahkan oleh FIFA yang mana seramai 165 jurulatih skuad kebangsaan, 162 kapten pasukan kebangsaan dan 171 wakil media membuat undian.

Messi, yang layak untuk mengundi sebagai kapten Argentina, menamakan rakan sepasukan, Luis Suarez, Neymar dan Andres Iniesta sebagai tiga pemain pilihan, manakala kapten Portugal, Ronaldo memilih rakan sepasukan dalam Real Madrid, Karim Benzema, James Rodriguez dan Gareth Bale.

Bagi kapten Belgium, Vincent Kompany, dia memilih rakan senagara, Eden Hazard dan Kevin de Bruyne, sementara kapten Sepanyol, Iker Casillas melakar kejutan apabila dia antara individu yang tidak membuat sebarang undian. –REUTERS