Messi mengejutkan rakan sepasukan yang turut dianggap pilihan utama, Andres Iniesta dan Xavi, yang masing-masing menduduki tangga kedua dan ketiga untuk merangkul trofi baru Ballon d'Or FIFA, anugerah prestij yang sebelum ini diadakan secara berasingan dengan FIFA serta majalah bola sepak Perancis.

Mourinho, yang kini membimbing Real Madrid memenangi anugerah Jurulatih Terbaik hasil kejayaan membawa Inter Milan merangkul tiga gelaran besar - Liga Juara-Juara Eropah, Serie A dan Piala Itali.

Mourinho atau jolokkannya Special One mengetepikan jurulatih yang membawa Sepanyol merangkul Piala Dunia, Vicente del Bosque ke tangga kedua, manakala jurulatih Barcelona, Pep Guardiola berada di tangga ketiga.

"Trofi paling penting buat saya adalah yang ditentukan hasil keputusan secara kolektif dan bukan individu. Ini adalah trofi bersejarah buat saya dan bola sepak Portugal,'' kata Mourinho kepada wartawan selepas mengetepikan Del Bosque dengan menerima 35.92 undi berbanding 33.08 yang diterima pencabarnya.

Iniesta dan Xavi menjadi pilihan utama untuk merangkul anugerah Pemain Terbaik Dunia selepas membantu Sepanyol menjulang Piala Dunia tahun lalu, pada kejohanan di mana Messi gagal menjaringkan sebarang gol dan tidak mempamer prestasi terbaiknya.

"Saya gembira dapat berada di sini bersama rakan sepasukan. Saya mahu berkongsi kejayaan ini bersama mereka dan bersama rakan-rakan lain yang tiada di sini, bersama rakyat Argentina,'' kata Messi.

Messi muncul pemenang selepas menerima 22.65 peratus undian berbanding Iniesta (17.36) dan Xavi dengan 16.48.

Tahun lalu, Messi memenangi kedua-dua anugerah Terbaik Dunia FIFA dan Ballon D'Or yang ketika itu dilangsung secara berasingan. Satu-satunya pemain yang pernah merangkul gelaran berganda adalah Luis Suarez pada 1960.

Selepas kecewa tidak memenangi sebarang anugerah utama, satu-satunya penawar buat Sepanyol adalah enam pemain mereka berada dalam senarai Pasukan Pilihan Dunia iaitu Iniesta, Xavi, Iker Casillas, David Villa, Carles Puyol dan Gerard Pique. Turut disenarai adalah pemain Brazol, Lucio dan Maicon, pemain Belanda, Wesley Sneijder, bintang Portugal, Cristiano Ronaldo dan Messi.

Undian untuk anugerah pemain dan jurulatih terbaik dijalankan oleh semua jurulatih dan kapten skuad kebangsaan serta wartawan terpilih, manakala 50,000 pemain bola sepak profesional pula mengambil bahagian dalam memilih 11 pemain untuk Pasukan Pilihan Dunia.

Messi mempamer aksi cemerlang bersama Barcelona tahun lalu tetapi gagal memberi inspirasi kepada Argentina pada Piala Dunia menyebabkan pasukannya tersingkir di suku akhir. - Reuters