Sambutan hangat diberikan kepada bintang penyerang Barcelona itu, dan sekumpulan penyokong muda melaungkan ‘Messi, Messi’ sejurus selepas pemain tersebut menamatkan sesi latihan hampir sejam.

Beberapa peminat dilihat memakai topeng muka Messi, manakala penyokong lain pula mengibarkan bendera Barcelona dan Argentina.

Pemenang anugerah Ballon d’Or lima kali itu kemudian diserbu penyokong muda di penghujung sesi latihan, dan pemain Argentina lain dilihat turut mendekati peinat bagi memberikan autograf.

Duta Argentina ke Russia, Ernesto Lagorio turut menyaksikan sesi latihan yang berlangsung di pusat latihan yang sering digunakan oleh beberapa persatuan sukan di negara itu.

“Kami datang untuk menyaksikan pasukan kebangsaan. Ini pengalaman pertama kami, jadi ia hebat.

“Kami sudah berkunjung ke Bronnitsy beberapa kali, kami bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan juga Datuk Bandar. Dia banyak membantu kami,” kata Lagorio.

Argentina yang tewas kepada Jerman dalam perlawanan akhir Piala Dunia 2014 diletak sebagai antara pilihan untuk muncul juara kali ini.

Skuad bimbingan Jorge Sampaoli itu akan memulakan kempen Kumpulan D dengan menentang Iceland, Sabtu ini sebelum bertemu Croatia (22 Jun) dan Nigeria pada 27 Jun. - AFP