Real pula, yang ber­aksi lebih awal dan tanpa Cristiano Ronaldo yang digantung perlawanan, mempersiakan begitu banyak peluang menerusi Gareth Bale setelah sekadar diikat de­ngan keputusan seri 1-1 di laman sendiri oleh pasukan baharu yang dinaikkan ke La Liga, Levante.

Barca pula tidak melakukan kesilapan sedemikian, apabila skuad bimbingan Ernesto Valverde itu mengutip mata maksimum daripada tiga perlawanan pembukaan La Liga.

Messi mengetuai pasukannya dengan persembahan memukau, tetapi jaringan pembukaannya masih memerlukan sedikit tuah setelah dia gagal dikesan berada dalam kedudukan ofsaid sewaktu menerima umpanan Ivan Rakitic sebelum melepaskan rembatan ke sudut atas gawang lawan.

Gol kedua Barca menjelma hasil serangan balas daripada sepakan sudut Espanyol yang diketuai Messi dan Luis Suarez sebelum hantaran silang yang rendah oleh Jordi Alba disudahkan dengan sempurna oleh bintang Argentina itu.

“Ini satu penghormatan buat saya dapat bermain dengan pemain terbaik di dunia. Perlawanan demi perlawanan, sentiasa menunjukkan bahawa Messi akan terus meledak untuk satu lagi tempoh yang panjang,” kata Suarez.

Messi membuktikan kehebatannya dengan menjaringkan gol hatrik menerusi satu lagi tindakan penyudah yang tajam daripada gerakan yang dicatur Alba.

Dembele yang mengisi tempat Neymar, menggalas tanggungjawab berat bagi mengekalkan momentum sama dan pemain baharu Barca yang dibeli dengan harga 105 juta euro (RM529 juta) itu perlu menanti selama 22 minit sebelum waktu sebenar tamat untuk menggantikan Gerard Deulofeu.

Pemain berusia 20 tahun itu membuktikan mengapa Barca menjadikan dirinya sebagai pemain ketiga termahal di dunia menerusi hantaran silang yang berjaya disudahkan oleh Suarez, selepas Gerard Pique menanduk masuk gol keempat Barca. – AFP