Bintang Argentina itu melengkapkan hatriknya yang ke-33 dengan lambungan cantik untuk menewaskan penjaga gol tuan rumah, Pau Lopez ketika membantu Barca membelasah Real Betis 4-1 di Stadium Benito Villamarin.

Kapten Barca itu menerima sambutan luar biasa daripada penyokong tuan rumah, yang berdiri untuk memberikan peng­hormatan kepadanya selepas melengkapkan hatrik.

“Secara jujurnya, saya tidak ingat (sama ada pernah berlaku sebelum ini). Saya bersyukur terhadap sokongan yang diberikan penonton.

“Setiap kali kami hadir ke stadium ini, mereka melayani kami dengan baik, amat bersyukur dan gembira dengan kemenangan kami. Ia gol yang hebat, namun, apa yang penting kami memperoleh tiga mata dan peluang terbaik untuk kami melebarkan penguasaan. Selepas kami tahu Atletico Madrid tewas, semalam, kami tidak boleh gagal,” katanya.

Barca hanya memperoleh 43.9 peratus penguasaan bola yang merupakan rekod terendah dicatat mereka sejak direkodkan Opta pada musim 2004/05.

“Kami berdepan lawan yang mengawal bola dengan baik. Secara taktikal, ia amat sempurna dan menyukarkan lawan. Kami perlu sesuaikan diri. Ada ketika dalam perlawanan yang memerlukan kami bersedia untuk segala-galanya dan perkara baik akan tiba,” tambah Messi. – AGENSI