EMILIANO SALA
EMILIANO SALA 

Pemain Cardiff City yang mencatat rekod perpindahan kelab bernilai 15 juta pound (RM80 juta) itu, dipercayai terkorban selepas pesawat dinaikinya hilang daripada radar, hanya sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Atlantique Nantes.

Menerusi laman web Argentina, Ole.com melaporkan, pada malam Selasa, satu pesanan mesej audio didakwa dihantar Sala menerusi aplikasi Whats­App kepada sahabat dan rakan sepasukannya.

Pemain itu berkata: “Hello, apa khabar? Saya amat letih, sebelum ini berada di Nantes untuk melakukan banyak perkara dan ia tidak berhenti. Sekarang saya di dalam pesawat yang kelihatan seperti hendak terbelah dua, dan saya akan terbang ke Cardiff, memang gila, esok saya akan memulakan latihan bersama pasukan baharu.”

Sala kemudiannya menghantar satu lagi mesej: “Apa khabar, adakah semuanya baik? Jika anda tidak mendengar sebarang khabar dalam tempoh sejam setengah, saya tidak tahu sama ada mereka perlu menghantar seseorang untuk mencari saya. Saya takut!”

Sala yang dihantar sahabatnya iaitu pertahanan Nantes, Nicolas Pallois ke lapangan terbang, ada menyuarakan kebimbangan tentang pesawat yang dikatakan beralun. Menurut polis di pulau Guernsey yang masih meneruskan pencarian, mengesahkan pemain Liga Perdana Inggeris itu dianggap terkorban selepas serpihan pesawat ditemui dalam air. – AGENSI