Kalau mengikut kamus, naturalisasi itu bermaksud pemerolehan taraf kewarganegaraan oleh seseorang yang bukan seorang warganegara.

Isu naturalisasi ini menjadi perbincangan hangat ketika Malaysia berusaha mencari pemain berkebolehan dari negara luar yang dapat memperkuatkan pasukan bola sepak kebangsaan di peringkat antarabangsa.

Idea ini dicetuskan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan harapan dapat mengubah nasib dan kedudukan Malaysia dalam carta bola sepak antarabangsa.

Sebagai permulaan FAM menggariskan tiga peringkat pemilihan pemain bertaraf naturalisasi ini itu untuk pengambilan bagi jangka masa pendek, petengahan dan jangka masa panjang.

Jangka masa pendek memberi ruang kepada pemain berdarah campuran (pemain yang dilahirkan di Malaysia) tetapi bermastautin di luar negara atau pemain yang ibu, bapa atau datuk dilahirkan di Malaysia.

Untuk jangka masa pertengahan, FAM akan memilih pemain muda berusia 18 tahun dan ke atas, yang pernah beraksi dalam Liga Malaysia selama setahun atau lebih manakala bagi jangka masa panjang, FAM akan melihat pemain asing berusia bawah 18 tahun agar dapat mencurah bakat untuk tempoh yang lebih lama samada untuk peringkat usia dan senior.

Sebagai peminat bola sepak, kita tentunya mengalu-alukan tindakan berani FAM ini tanpa ragu-ragu apalagi ketika melihat prestasi tidak menentu pasukan negara. Tanpa mengambil contoh negara-negara lain yang melakukan tindakan naturalisasi ini, kita berharap usaha FAM ini mampu mendatangkan hasil.

Seperkara yang perlu diingat, jangan sekali-kali mengabaikan bakat pemain tempatan. Proses pemilihan (scouting) pemain tempatan mesti diteruskan.

Persatuan-persatuan negeri perlu sama membantu dalam proses scouting. Ramai pemain berbakat yang perlu diketengahkan. Setiap negeri misalnya mempunyai banyak daerah. Disinilah bermulanya proses mengenal bakat pemain.

Kejohanan-kejohanan antara daerah juga perlu diperkasakan bukan sekadar mengisi kelendar tahunan dan mencari pemenang.

Jika kena caranya, kita ya­kin Malaysia mampu mencapai keputusan yang jauh lebih baik berbanding apa yang kita capai pada hari ini.

Yang lebih penting adalah sokongan daripada semua pihak. Anggaplah rancangan FAM ini sebagai satu agenda baharu bola sepak negara dan pada masa yang sama jangan sesekali perlekeh sebarang usaha yang dilakukan. Melakukan sesuatu adalah lebih baik daripada “berdiam diri”.