Selepas dinafikan peluang menggunakan ge­langgang keramat mereka, Stadium Shah Alam, Selangor yang pernah mengungguli 33 Piala Malaysia, enam liga utama serta lima Piala FA memohon untuk menjadikan Stadium Nasional, Bukit Jalil sebagai ‘home venue’.

Bagaimanapun, pasukan itu bakal berdepan banyak kesukaran jika meneruskan hasrat tersebut kerana pelbagai acara yang akan diadakan Stadium Nasional tahun ini mampu menjejaskan jadual pertandi­ngan, kata Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Menurut Tunku Ismail, pihak pengurusan stadium telah mengesahkan empat daripada enam perlawanan pertama Se­langor sebagai tuan rumah perlu dipinda bagi memenuhi jadual acara yang akan dilangsungkan di stadium tersebut, malah lebih banyak pindaan mungkin perlu dilakukan selepas itu.

Katanya lagi, Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) dan pengurusan stadium berusaha mengkaji perkara itu tetapi mustahil untuk memberi jaminan stadium tersebut tersedia sepanjang tahun.

“Jika terdapat perubahan jadual pertandingan berpunca dari isu ini sudah tentu FMLLP akan dipersalahkan dan kita tidak bergerak seiringan ke arah penjadualan yang lebih stabil.

“Kita mesti bergerak ke depan, jadi Selangor tidak boleh memberi alasan Stadium Selayang tidak boleh diguna pakai hanya disebabkan lampu limpah yang tidak mematuhi spesifikasi yang ditetapkan FMLLP.

“Adalah menjadi tanggungjawab Selangor untuk menaik taraf lampu limpah tersebut bagi mematuhi piawaian yang telah ditetapkan FMLLP agar boleh beraksi di waktu malam.

“Pasukan seperti PJ ­Rangers (AirAsia) sanggup melabur untuk stadium MBPJ demi memastikan gelanggang tersebut lebih sesuai, apatah lagi pasukan Liga Super seperti Selangor?

“Saya sedar akan terdapat kritikan kepada saya dan FMLLP kerana terlalu tegas dalam isu berkaitan peraturan pertandi­ngan tetapi saya sedang cuba menaikkan nilai dan meningkatkan pendapatan melalui hak penyiaran kepada semua pasukan dan memastikan kemajuan.

“Semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing, bukan hanya menikmati faedah dari kemajuan ini tetapi tidak mahu menyumbang,” kata Tunku Ismail dalam kenyataan di Facebook FAM, hari ini.

Liga Super musim 2018 akan membuka tirai menerusi aksi Piala Sumbangsih antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah pada 13 Februari, manakala Selangor memulakan kempen dengan menentang Kuala Lumpur di Stadium Kuala Lumpur, Cheras pada 14 Februari.

Selangor menggunakan Stadium Selayang sebagai ‘home venue’ mereka sepanjang Liga Malaysia musim lalu.