Biarpun kedua-dua pihak telah menandatangani perjanjian bernilai RM480 juta untuk tempoh lapan tahun pada 29 Januari 2018, namun kontrak tersebut tidak berjalan lancar, sekali gus memaksa Ahli Lembaga Pengarah MFL membuat keputusan menamatkan kerjasama itu.

Selepas merujuk perkara tersebut kepada peguam, MFL dengan berat hati meleraikan kerjasama tersebut dan pengerusinya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Kevin Ramalingam memulakan rundingan rasmi dengan pihak-pihak yang berminat menjadi penaja baharu Liga Malaysia.

“MFL sudah banyak kali berusaha mengadakan perbincangan dengan pihak TM tetapi langkah itu menemui jalan buntu, jadi kami tidak boleh menunggu kerana kita ada tanggungjawab untuk menguruskan Liga Malaysia,” kata Tunku Ismail dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Kevin dalam sidang akhbar di sini, hari ini.

 

Sebelum itu, Kevin menjelaskan kontrak antara TM ditamatkan hari ini selepas mereka gagal membuat pembayaran pada 2019 dan tidak mematuhi kontrak yang dipersetujui.

“Kita akan mengambil tindakan undang-undang kerana TM melanggar kontrak yang telah ditandatangani namun tindakan selanjutnya akan dimaklumkan kemudian,” ujarnya.

Kegagalan tersebut membuatkan Tunku Ismail kecewa dan berharap apa perkara yang berlaku tiada unsur politik.

”Sejujurnya saya kecewa dengan tindakan TM dan kita dapat melihat bahawa ada perubahan drastik dalam dalam urusan kontrak bersama MFL bermula Mei tahun lalu.

“Saya sendiri tidak menjangka TM akan melakukan perkara ini kepada bola sepak Malaysia yang sudah menjadi seakan nadi seharian puluhan juta rakyat Malaysia.

“Kami tahu mungkin kerajaan atau TM mempunyai keutamaan lain tapi mereka tidak boleh membiarkan sukan nombor satu Malaysia yang menyatukan negara menderita kerana tindakan ini.

“Inilah yang akan berlaku apabila sukan dipolitikkan.

“Namun kita akan cuba sebaik mungkin untuk terus maju tanpa mereka kerana bolasepak ini adalah milik rakyat.

“Kita masih ada penaja dan pelabur daripada pihak-pihak lain yang bersama kami dan ada penaja baharu akan muncul. Itu sudah pasti,” ujar Tunku Ismail lagi.