Meskipun kalah 1-2 kepada Kashima Antlers, sebagai pendatang baharu, JDT telah membuktikan mereka memiliki kelas tersendiri ketika berdepan dengan anak-anak buah jurulatih dari Brazil, Zico ketika bertandang ke Jepun dengan suhu sejuk di bawah 9 darjah Celsius.

Paling menggembirakan, ia membuka lembaran baharu kepada bola sepak negara. Beraksi di pentas kejohanan paling berprestij Asia itu sememangnya menjadi impian setiap pasukan Liga Malaysia.

JDT menjadi pembuka jalan dan itu menunjukkan bahawa pasukan dari Malaysia juga mampu memberikan saingan terbaik di peringkat tertinggi.

Liga Juara-juara adalah pentas terbaik untuk melihat sejauh mana kehebatan liga-liga utama di Asia. Beberapa kelab khususnya dari China sanggup berbelanja besar untuk mendapatkan khidmat pemain bahkan jurulatih terbaik dunia.

Zico misalnya adalah le­genda bola sepak Brazil yang memilih kerjaya sebagai jurulatih selepas menamatkan karier hebatnya dengan beberapa jaringan cantik.

Selain Zico, nama besar lain yang memberi sentuhan dalam saingan liga utama Asia ini termasuk Fabio Cannavaro, anggota pasukan Itali yang memenangi Piala Dunia 2006 di Jerman. Cannavaro kini menjadi jurulatih kelab dari China, Guangzhou Evergrande. Cannavaro menggantikan tempat seorang lagi jurulatih dari Itali Marcello Lippi pada tahun 2014.

Diletak dalam Kumpulan E bersama Gyeongnam FC dari Korea dan Shandong Lunengdari China, selaku pasukan baharu, JDT perlu realistik untuk meletakkan sasaran yang tinggi dalam pertandingan ini, meskipun pernah melakar sejarah memenangi Piala AFC.

Kini, selepas satu perlawanan, JDT akan berdepan Gyeongnam FC di stadium Larkin pada 12 Mac ini sebelum bertemu Shandong Luneng 9 April di China.

Shandong menampilkan bekas pemain Manchester United, Marouane Fellaini dari Belgium yang kini berwajah baharu dan tidak lagi berambut afro.

Yang pasti, peminat bola sepak tempatan khususnya penyokong tegar Manchester United sudah pasti tidak mahu melepaskan peluang melihat kelibat Fellaini di Larkin pada 24 April nanti.

Gyeongnam dan Luneng seri 2-2 dalam perlawanan pertama mereka ketika berlangsungnya aksi Kashima menentang JDT.

Bagi peminat bola sepak tempatan, mereka pasti tidak akan melepaskan peluang untuk melihat peningkatan dan sejauh mana perjalanan JDT dalam Liga Juara-Juara.