Katanya, Selangor tidak mempertikaikan nilai RM1 juta yang diletakkan Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) untuk pemain berusia 22 tahun itu kerana menganggap jumlah tersebut sepadan dengan kemampuannya.

“Syazwan seorang pemain sangat yang bagus dan harga RM1 juta adalah nilai yang adil.

“Selangor memang berminat hendak mendapatkan khidmatnya, tetapi perkara itu dibangkitkan (kepada pihak pengurusan) terlalu lewat ketika saingan musim baharu sudah mahu bermula.

“Mungkin juga, masanya kurang tepat.

“Pertama, ketika itu Syazwan sedang beraksi dalam skuad kebangsaan pada Piala AFF dan kemudian rundingan dengan KLFA tidak dapat dijalankan kerana mereka sedang berdepan masalah dalaman.

“Bila semua sudah selesai, kami pula sudah mempunyai barisan pemain tempatan mencukupi, jadi bajet kita sudah gunakan untuk perkara-perkara lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Kelmarin, tindakan penolong pengurus Selangor, Nazzab Hidzan memuat naik gambar­nya bersama Syazwan dalam laman sosial mengundang pelbagai persoalan sama ada bek kiri itu akan menyertai Red ­Giants atau sebaliknya.

Pengurus Selangor, Datuk Rauf Ahmad turut kelihatan dalam gambar tersebut dengan kapsyen ‘Ye Syazwan boleh kami bantu..Cantik kalau dia duk di Left Back kan..#perjuanganbelumselesai #syazwanandik.’

“Apakah kami akan mendapatkannya pada musim akan datang? Itu kita akan berbincang kemudian,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Rauf mengesahkan pertahanan tengah dari Australia, Taylor Regan bakal menjadi pemain import terbaharu menandatangani kontrak bersama pasukan Red Giants.

“Ya, Tylor Regan bakal jadi import kita yang kelima dan dia akan tiba di sini pada Khamis ini,” ujarnya.

Dengan menandatangani Regan, maka Selangor telah melengkapkan lima pemain import iaitu penyerang dari Sepanyol, Rufino Segovia, pertahanan te­ngah Vietnam, Michal Nguyen, Antonio German dan Endrick dos Santos.