Penggunaan video bantuan pengadil (VAR) pada waktu kecederaan menjadi talian hayat terakhir Spurs ketika mereka sudah di ambang penyingkiran.

Tottenham melangkah ke separuh akhir buat kali kedua dalam sejarah, dan kali pertama selepas 57 tahun apabila menyingkirkan Manchester City menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas kedudukan suku akhir terikat 4-4 secara agregat.

"Saya amat gembira dan bangga dengan pemain, mereka adalah wira sebenar. Keputusan ini sukar dipercayai.

"Sabtu ini kami akan bertandang sekali lagi ke Etihad (Liga Perdana Inggeris). Sebab itulah saya suka bola sepak kerana kadangkala ia gila dan apa sahaja boleh berlaku.

"Hari ini, kami menunjukkan karakter yang bagus. Untuk meledak tiga gol di sini bukan perkara mudah, saya juga mahu mengucapkan tahniah kepada Manchester City kerana mempamer aksi mengagumkan," kata Pochettino kepada pemberita sejurus tamat permainan.

Bagi pengurus City, Pep Guardiola anak-anak buahnya sudah melakukan segala yang terdaya untuk menang 4-3, namun nasib tidak menyebelahi mereka.

"Kami menjaringkan gol, pemain sudah melakukan tugas mereka, namun VAR memainkan peranan selebihnya.

"Apakah ia keputusan yang betul? Gol (Fernando) Llorente (jaringan ketiga Spurs) patut dibatalkan kerana bola terkena tangan tetapi dibenarkan.

"Jaringan kami pula tidak dibenarkan kerana ofsaid, itu memang kejam.

"Mungkin pengadil tidak dapat melihat dengan jelas situasi bola terkena tangan.

"Babak pertama tidak normal (lima gol terhasil dalam tempoh 21 minit). Pada separuh masa kedua kami mencipta banyak peluang tetapi mereka (Tottenham) adalah pasukan yang kuat.

"Malang sekali kami gagal ke peringkat seterusnya. Misi memburu empat trofi? Ya, ia sudah lebur," ujar Guardiola.

Tottenham kini akan menentang kelab Belanda, Ajax dalam separuh akhir.- AGENSI