Kemenangan juara hatrik Liga Super itu nyata mengubat kekecewaan skuad Harimau Selatan setelah kalah dua perlawanan berturut-turut dalam saingan Piala FA dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sebelum ini.

Anak-anak buah Benjamin Mora tidak mengambil masa lama untuk merobek gawang pelawat apabila pemain dari Argentina, Gabriel Miguel Guerra membuka tirai jaringan seawal minit kelapan.

Kapten JDT, Safiq Rahim te­rus meletakkan pasukan itu di hadapan setelah menjaringkan gol kedua dengan mengecewakan penjaga gol pelawat, Mohd. Fazli Paat buat kali kedua pada minit ke-17.

Aksi cemerlang JDT diteruskan dengan jaringan ketiga oleh Mohd. Amirulhadi Zainal lima minit kemudian.

Percaturan Mora memasukkan Azammuddin Mohd. Akil bagi menggantikan Ahmad Hazwan Bakri pada minit ke-27 adalah tepat apabila pemain sayap itu membantu Gonzalo Gabriel Cabrera menjaringkan gol keempat pada minit ke-33.

Enggan mengaku kalah, anak buah Eric Williams cuba bangkit melalui beberapa percubaan namun benteng pertahanan JDT berjaya mematahkan serangan dengan mudah sekali gus menyaksikan tuan rumah mendahului 4-0 sehingga tamat babak pertama.

Memasuki babak kedua perlawanan, JDT tidak menunggu lama apabila tendangan kencang Azammuddin dari bahagian kiri pada minit ke-46 terus menerjah ke gawang gol.

Pesta gol JDT diteruskan apabila Safiq mencatat hatrik apabila meledak gol pada minit ke-58 dan m-87.

Sementara itu, Pulau Pinang berjaya menamatkan badi tanpa kemenangan apabila menang tipis 1-0 ke atas Felda United biarpun terpaksa menamatkan aksi dengan 10 pemain di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka.

Gol tunggal pasukan pelawat diperoleh menerusi jaringan penyerangnya, S. Kumaahran pada minit ke-81.

Kad merah dilayangkan kepada pertahanan Pulau Pinang, Mafry Balang ketika permainan berbaki lima minit.