Keputusan itu dicapai pada mesyuarat kali ketujuh Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi penggal 2017-2021 yang dipengerusikan Presidennya, Datuk Hamidin Mohd. Amin di sini hari ini.

Terdahulu, cadangan itu dibentangkan Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi selaku Pengerusi Jawatankuasa Program Naturalisasi FAM.

Dalam kenyataan selepas mesyuarat itu, mekanisme proses jangka pendek membabitkan pemain berdarah campuran sama ada mereka sendiri, ibu atau bapa, atau datuk atau neneknya dilahirkan di Malaysia.

Sebagai contoh, katanya, pemain-pemain berdarah campuran yang telahmenyarung jersi Harimau Malaya antaranya Matthew Davies; Darren Lok; Brendan Gan; Kiko Insa; Natxo Insa dan terbaharu, Nicholas Swirad yang dipanggil untuk kem latihan pusat baru-baru ini.

Tambahnya, kategori itu juga termasuk pemain asing yang telah bermain dalam liga bola sepak tempatan dan menetap secara minimum di Malaysia lima tahun berturut-turut.

“Sebagai contoh, pemain asing pertama yang sudah pun menyarung jersi Harimau Malaya sejak tahun lalu ialah pemain Pahang, Mohamadou Sumareh yang berasal dari Gambia,” katanya.

Sementara itu, menurut kenyataan tersebut, bagi proses jangka pertengahan pula, membabitkan pemain asing baharu berusia 18 tahun ke atas dan telah bermain dalam Liga Malaysia untuk satu atau dua tahun serta meyakinkan pemain untuk menetap dengan minimum lima tahun.

Tambahnya, bagi mekanisme proses jangka panjang pula, membabitkan pemain asing yang masih di peringkat remaja (bawah 18 tahun).

“Berapa jumlah pemain, lingkungan usia pemain, negara asal pemain dan lain-lain perkara berkaitan akan dicadangkan oleh panel teknikal yang akan ditubuhkan.

“Panel teknikal terdiri daripada Pengarah Teknikal FAM, Peter de Roo, barisan jurulatih-jurulatih kebangsaan dan individu-individu lain yang berkaitan ini akan memberi cadangan dan nasihat kepada FAM dari sudut teknikal,” katanya.

Dalam pada itu, tambah kenyataan tersebut, segala butiran lanjut dan perkembangan terbaharu mengenai proses naturalisasi berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa untuk makluman seluruh pemegang taruh bola sepak negara. - UTUSAN ONLINE