Seperti dijangka, pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Mario Gomez mengetuai senarai calon jurulatih terbaik atas kejayaan membawa skuad Harimau Selatan melakar sejarah muncul juara Piala AFC, selain mempertahankan gelaran Liga Super.

Turut tercalon pengendali Kedah, Tan Cheng Hoe yang membawa Lang Merah menjuarai Liga Perdana serta muncul naib juara Piala Malaysia, manakala Zainal Abidin Hassan yang gagal menghadiahkan sebarang trofi buat Pahang musim ini melengkapkan senarai akhir calon Jurulatih Terbaik.

Dalam pada itu, kejayaan JDT mengungguli Piala AFC 2015 membolehkan pemain skuad Harimau Selatan mendominasi senarai beberapa Anugerah Bola Sepak Kebangsaan 2015, yang akan diadakan pada Jumaat ini.

Pemain mereka dicalonkan untuk semua kategori kecuali Pemain Muda Terbaik.

Enam pemain JDT iaitu Farizal Marlias, Mohd. Aidil Zafuan Abd. Razak, Safiq Rahim, Safee Sali, Amri Yahya dan Luciano Figueroa disenarai untuk merebut anugerah dalam kategori masing-masing.

Tumpuan pastinya terarah kepada anugerah Penyerang Terbaik yang menyaksikan bintang Sela­ngor, Ahmad Hazwan Bakri diapit oleh dua pemain JDT iaitu Safee dan Amri untuk merebut gelaran tersebut.

Kata Hazwan yang dipilih sebagai Pemain Terbaik Asia Tenggara minggu ini oleh laman web bola sepak antarabangsa, Goal.com, jika kemenangan memihaknya maka ia akan menjadi salah satu pembakar semangat dalam kariernya.

“Saya tidak terlalu mengharap untuk anugerah tersebut kerana sedar ada lagi pemain hebat, terutama daripada JDT yang baru sahaja memenangi kejohanan besar Piala AFC 2015.

“Malah saya juga percaya ramai pemain JDT akan memenangi anugerah yang dipertandingkan tambahan pula mereka telah mencipta banyak kecemerlangan musim ini,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, semalam.

Dalam pada itu, Farizal dina­makan untuk menerima anugerah Penjaga Gol Terbaik bersama dua lagi calon iaitu Khairul Azhan Md. Khalid dari Pahang dan wakil dari Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat.

Mohd. Aidil Zafuan akan bersaing untuk anugerah Pertahanan Terbaik dengan calon veteran Shukor Adan (Felda United) serta Mohd. Razman Roslan (Pahang).

Safiq yang juga kapten JDT akan dicalonkan untuk anugerah Pemain Tengah Terbaik bersama Baddrol Bakhtiar (Kedah) dan Hafiz Kamal (Pahang).

Sementara itu, Figueroa yang beraksi baik bersama JDT musim ini bakal dicabar Dickson Nwakaeme (Pahang) dan Ali Ashfaq (PDRM) untuk Pemain Import Terbaik.

Kategori utama lain yang dipertandingkan dalam Anugerah Bola Sepak Kebangsaan tahun ini ialah anugerah Pemain Muda Terbaik dan Penjaring Terbanyak.