Bagaimanapun, jurulatih Perak, Mehmet Durakovic enggan melatah sebaliknya dia perlu mencari pengganti bagi mengisi kekosongan Brendan Gan, Nazirul Naim Che Hashim dan Partiban Janasekaran.

“Brendan mengalami kecederaan kaki ketika menjalani latihan keadaannya ketika ini 50-50 manakala Partiban demam sepanjang minggu dan Nazirul juga masih belum dapat dipastikan sama ada boleh bermain atau tidak.

“Inilah bola sepak di mana kecederaan sering menjadi masalah kepada pemain, tetapi tidak mengapa kerana peluang akan diberi kepada pemain lain untuk menggalas cabaran pasukan.

“Masalah besar kami adalah cuaca. Pemain sudah biasa bermain dengan cuaca panas di Malaysia tetapi di sini suhunya boleh mencecah negatif 1 dan 2 pada waktu malam manakala di sebelah siang suhunya 1 atau 2 darjah Celsius.

“Kebanyakkan pemain saya mengalami batuk disebabkan cuaca yang sejuk namun inilah pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mehmet yang berasal dari Australia menyedari lawan mereka itu bukan calang-calang apabila kelab dari Korea Selatan itu pernah menjuarai Liga Juara-Juara Asia pada 2012.

“Sudah tentu perlawanan esok amat mengujakan kami dan walaupun bukan mudah namun saya mahu pemain menikmatinya kerana inilah peluang untuk kami mencipta sejarah,” katanya lagi.

Jika menang, Perak akan menyertai Kumpulan H bersama tiga lagi pasukan iaitu Sydney FC dari Australia kemudian Kawasaki Frontale (Jepun) dan Shanghai SIPG (China).- UTUSAN ONLINE