Beliau berkata para pemainnya telah menunjukkan persembahan yang baik walaupun turun tanpa penyerang import dari Brazil, Gilmar Filho dan tonggak pertahanan, Amirul Azhan Aznan akibat kecederaan.

“Secara keseluruhan para pemain menampilkan permainan yang baik walaupun kita kurang menyengat terutama dalam melancarkan serangan ke kubu lawan.

"Bagaimanapun, tiga mata pada malam ini (semalam) amat penting untuk kita memperbaiki kedudukan dalam liga," katanya ketika ditemui pemberita di Stadium Perak, malam tadi.

Dalam aksi itu, gol tunggal skuad The Bos Gaurus dijaringkan pemain import, Wander Luiz Junior pada minit ke-39, melalui sepakan penalti selepas rakan sepasukan, Mohd Nor Hakim Hassan dijatuhkan dalam kotak penalti oleh pertahanan lawan.

Kemenangan itu juga membolehkan Perak melonjak ke tangga ketujuh selepas mengharungi lima perlawanan liga.

Mengulas aksi penyerang Muhammad Shahrel Fikry Md Fauzi dalam perlawanan terbabit, Mehmed berkata peminat perlu memberikan masa kepada bekas penyerang kebangsaan itu untuk kembali menemui rentak selepas berehat panjang akibat kecederaan kaki.

"Ini aksi pertama beliau selepas cedera sewaktu menentang Johor Darul Ta'zim (JDT) dalam aksi Piala Sumbangsih. Jadi, kita perlu bagi masa dan saya akan yakin beliau akan kembali menemui sentuhan pemusnah jika bebas daripada sebarang kecederaan," katanya.

Dalam perkembangan lain, katanya, skuad The Bos Gaurus akan meneruskan latihan seperti biasa meskipun saingan liga berhenti selama dua minggu bagi memberi laluan kepada pertandingan Piala Airmarine yang dijangka berlangsung pada 20 hingga 23 Mac ini.- BERNAMA