Rembatan penalti pemain gantian PSG, Christopher Nkunku terkena palang sekali gus menceriakan penyokong Rennes di Stade de France apabila berjaya menjulang trofi buat kali

pertama selepas hampir separuh abad tidak melakukannya.

“Dalam beberapa minggu sebelum ini, banyak cakap-cakap mengenai kelab ini dan itu menyedarkan kami bahawa kami perlu melakar sejarah.

“Kita boleh berhenti bercakap mengenai pasukan yang tewas. Kejuaraan ini akan mengubah sejarah kelab,” kata jurulatih Rennes, Julien Stephan.

Rennes melakukan kebangkitan penuh dramatik dalam final tersebut selepas PSG terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Dani Alves dan Neymar dalam tempoh 21 minit

pertama.

Bagaimanapun, kesilapan Presnel Kimpembe menjaringkan gol sendiri seolah-olah memberi sinar harapan kepada Rennes apabila Edson Mexer menyamakan kedudukan pada minit ke-66

sebelum perlawanan terpaksa diheret ke penentuan penalti.

Ketika masa tambahan hampir tamat, penyerang Perancis, Mbappe dilayangkan kad merah berikutan melakukan terjahan keras terhadap Damien Da Silva.

“Dia menghadapi kecederaan ringan di bahagian otot semalam, dia menamatkan latihan lebih awal dan pergi ke hospital untuk menjalani ujian. Mungkin itu yang berada dalam fikirannya.

“Anda dapat rasakan dia kurang berkeyakinan. Kad merah di hujugn permainan jelas menunjukkan itu bukan dia yang sebenar,” kata Tuchel.

Dalam pada itu, penyerang Brazil, Neymar tidak dapat menyembunyikan kesedihannya memandangkan luka PSG tersingkir daripada Liga Juara-Juara masih belum sepenuhnya.

“Saya sedih. Kami tidak bermain seperti yang diharapkan namun tiada gunanya menangis mengenai kekalahan ini. Kami sudah tidak boleh berbuat apa-apa,” katanya. - AFP