Menurut laporan di Sepanyol, Real telah berjaya mencapai persepakatan dengan Monaco dan sedia untuk melengkapkan perpindahan itu dengan bayaran 143 juta (RM798.30 juta) dengan klausa tambahan 18 juta pound (RM100.48 juta).

Mbappe ditawarkan kontrak enam tahun dengan gaji 120,000 pound (RM669,900) seminggu oleh juara Sepanyol itu.

Akhbar Daily Record menyatakan, pengurus Manchester City dan Paris Saint-Germain (PSG) bersedia untuk mengeluarkan belanja sebanyak 161 juta pound (RM898.78 juta) untuk mendapatkan pemain itu.

Mbappe sedang mencari kepastian untuk berada dalam kesebelasan utama bagi mengukuhkan peluangnya beraksi dalam Piala Dunia tahun hadapan dengan masa bermain menjadi keutamaan untuk mendapatkan tempat dalam pasukan Didier Deschamps.

Keputusan itu memberikan kelebihan kepada City dan PSG dengan Pep Guardiola sudah bertemu dengan pemain itu sebelum City memulakan bidaan.

Pengendali PSG, Unai Emery berangkat ke Bondy di Paris untuk bertemu bapa Mbappe, Wilfried dan berusaha memujuknya untuk menerima tawaran kelab dari bandar itu.

Perpindahan Mbappe ke Real kini bergantung kepada kemampuan Zinedine Zidane untuk memberi kepastian yang lebih meyakinkan berbanding Guardiola dan Emery.

Dia perlu meyakinkan bahawa Mbappe akan menjadi sebahagian daripada perancangannya terhadap kesebelasan utama. – AGENSI