Red Devils bakal membuka kempen Liga Perdana Inggeris menentang Leicester, Sabtu ini, pada ketika Mou­rinho masih lagi bertelingkah dengan Naib Pengerusi Eksekutif United, Ed Woodward berhubung isu pembe­lian pemain baharu.

Legenda Old Trafford, Ferdinand mengakui, dia tidak dapat melihat United mampu menamatkan saingan di atas juara bertahan, Manchester City atau Liverpool dalam pemburuan gelaran.

Mourinho yang memasuki musim ketiga sebagai pengurus United bakal berdepan kempen berjaya atau gagal, dan Ferdinand percaya, kelab itu memerlukan lebih daripada pertahanan Tottenham, Toby ­Alderweireld yang menjadi pilihan utamanya berban­ding bintang England, Harry Maguire.

“Ketika ini, terlalu banyak unsur negatif di sekeliling United dan situasi itu kurang menyenangkan. Pe­ngurus tidak gembira tentang isu pembelian pemain yang tidak dapat dilakukan.

“Ketiadaan beberapa tonggak sepanjang pramusim juga kurang enak didengar. Cara dia bercakap seolah-olah kegagalan bakal menimpa United.

“Ini belum lagi tentang kemelut Anthony Martial yang tiba-tiba me­ninggalkan jelajah di Amerika Syarikat dan tidak kembali ke pangkuan pasukan. Buat masa ini, Manchester City kelihatan lebih kuat dan Li­verpool mempamer peningkatan ketara.

“Mereka membeli penjaga gol berharga 60 juta pound (RM316 juta), saya fikir Naby Keita mampu menghadirkan impak, kita juga tahu kualiti yang dimiliki Xherdan Shaqiri dan mereka turut menambah kekuatan dengan keha­diran Fabinho,” kata Ferdinand. – AGENSI