LIRIDON (berbaju kelabu) sah menyertai Melaka United apabila sudahpun memulakan latihan bersama pasukan sejak dua hari lalu. Media Sosial

Perkara itu diakui sendiri oleh jurulatih Melaka United, Zainal Abidin Hassan yang membe­ritahu bekas import Kedah itu sudahpun menjalani latihan bersama pasukan sejak dua hari lalu.

“Betul. Liridon menyertai Melaka United dengan kontrak selama satu musim. Saya fikir dengan kemasukan dia ke dalam pasukan ini dapat membakar semangat pemain dan juga memberikan aksi terbaik untuk Melaka United.

“Pengalaman yang dia ada sepanjang beraksi dalam kancah liga bola sepak tempatan akan digunakan sebaik mungkin untuk membantu Melaka United,” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.

Akhbar ini pernah melaporkan Liridon atau lebih mesra dengan panggilan Mat Don dikaitkan dengan beberapa pasukan Liga M iaitu Perlis, Pahang dan JDT. Bagaimanapun, Perlis dan Pahang sudah menyatakan mereka tidak akan menandatangani kontrak dengan pemain kelahiran Kosovo itu.

Bagaimanapun, spekulasi mengenainya kembali hangat diperkatakan apabila Liridon, 27, memuat naik gambar kereta di Johor Bahru menerusi Insta Story dalam Instagram miliknya.