Kini bekas pemain antarabangsa England berusia 47 tahun itu pula memimpin Three Lions yang akan menentang Croatia esok dalam separuh akhir pertama England sepanjang 28 tempoh tahun.

Dan, ini adalah masanya untuk Southgate memberikan ucapan yang seharusnya menjadi dorongan untuk pemain England berusaha mati-matian.

“Mungkin 18 bulan lalu saya bercakap dengan mereka mengenai jika anda ada kejayaan dengan England, itu akan menjadi lebih besar daripada segalanya yang anda mampu gambarkan,” kata Southgate selepas pasukannya menang 2-0 ke atas Sweden dalam suku akhir Sabtu lalu.

Southgate, yang tidak bermain menentang Brazil, membidas Eriksson selepas mereka kalah 2-1. Dia membandingkan warga Sweden yang dikenali sebagai seorang yang sentiasa tenang itu dengan ‘Tory’, iaitu seseorang ahli politik yang memegang kepada falsafah sentiasa tenang tetapi dianggap hambar oleh orang ramai.

Dengan Southgate menyimpan kemas strateginya untuk perlawanan dengan Croatia, sekumpulan pemain muda yang diketuai Harry Kane berharap untuk berjaya dalam kejohanan yang mana Gary Lineker, Michael Owen, Alan Shearer, David Beckham dan Wayne Rooney gagal.

Juara 1966, England berkedudukan ke-12 di dunia dan Croatia, ke-20. Pemenang perlawanan itu akan ke perlawanan akhir Ahad ini menentang Perancis atau Belgium.

Croatia mara ke separuh akhir pertamanya sejak kalah kepada tuan rumah Perancis pada 1998. Mereka menewaskan Denmark dalam pusingan 16 terbaik dan tuan rumah Rusia dalam suku akhir tahun ini, menjadi pasukan kedua yang memenangi dua penalti penentuan berturut-turut dalam Piala Dunia yang sama sejak Argentina menewaskan Yugoslavia dan Itali pada 1990.

“England tidak akan menjadi kerja mudah buat kami.

“Kami akan mencari formula terbaik sebelum perlawanan itu, memandangkan segelintir pemain kami menghadapi masalah kecil selepas perlawanan dengan Rusia. Ini menjadikan kerja kami tidak mudah, namun memasuki separuh akhir memberikan kami semangat baharu,” kata jurulatih Croatia, Zlatko Dalic menerusi seorang jurubahasa.

Dalam perlawanan separuh akhir terakhir England, rembatan Andreas Brehme pada minit ke-60 terkena Paul Parker dan bola melangkaui penjaga gol Peter Shilton untuk meletakkan Jerman Barat di hadapan.

England mengikat kedudukan apabila sepakan lintang Parker mengenai Juergen Kohler dan bola jatuh di hadapan Lineker untuk dia mudah menewaskan penjaga gol Bodo Illgner. Kemudian, dalam penalti penentuan, sepakan Stuart Pearce disekat oleh Illgner pada percubaan keempat England, Olaf Thon menyempurnakan gol untuk Jerman mendahului 4-3 sebelum sepakan Chris Waddle melepasi palang gol.

Bagi Croatia pula, mereka mendahului dalam separuh akhir 1998 hanya 26 saat selepas babak kedua bermula apabila Aljosa Asanovic memecahkan benteng Perancis menerusi umpanan yang disudahkan Davor Suker untuk gol kelimanya dalam kejohanan itu. Lilian Thuram mengikat kedudukan seminit kemudian selepas mencuri bola daripada Zvonimir Boban dekat kawasan penalti dan bertukar umpanan dengan Youri Djorkaeff. Thuram menjaringkan gol kemenangan menerusi rembatan lengkung pada minit ke-70.

Croatia bermain bersama Yugoslavia sebelum berpecah pada 1990. Dalam sejarah pertemuan antara mereka, England meraih empat kemenangan, dua kekalahan dan seri sekali termasuk kemenangan 4-2 dalam peringkat kumpulan Kejohanan Eropah (Euro) 2004.

Mereka kemudian tidak bertemu sejak kelayakan bagi Piala Dunia 2010 apabila England menang 4-1 di Zagreb dan 5-1 di Stadium Wembley. – AGENSI