Kemenangan itu juga membolehkan anak-anak buah Massimiliano Allegri menjulang gelaran berganda untuk musim ketiga berturut-turut selepas menjuarai Piala Itali, dua minggu lalu.

Mereka juga bakal meraih gelaran treble jika juara La Liga, Real Madrid dalam final Liga Juara-Juara di Cardiff, 3 Jun depan.

Jaringan Mario Mandzukic, Paulo Dybala dan Alex Sandro memastikan skuad Old Lady muncul juara ketika saingan masih berbaki satu perlawanan selepas mengetepikan pencabar terdekat, Roma dengan kelebihan empat mata.

Sejurus tamat perlawanan, Allegri mencabar pemainnya agar memahat nama mereka sebagai legenda kelab dan me­ninggalkan legasi di Turin dengan merampas kejuaraan Eropah yang kali terakhir dimenangi 21 tahun lalu.

“Walaupun kami sudah biasa merangkul trofi (Serie A), namun musim ini berbeza dengan musim lalu kerana kami masih di landasan untuk merangkul satu lagi kejuaraan apabila beraksi dalam final Liga Juara-Juara.

“Ia (beraksi dalam perlawanan akhir) bukan kesempatan yang anda peroleh setiap tahun. Ini hanya kali kedua kami berjaya ke final dalam tempoh tiga tahun, malah kami tidak pernah memenangi trofi Eropah sejak kali terakhir melakukannya pada 1996.

“Saya bangga dengan pencapaian pasukan setakat ini, namun pada masa sekarang perkara paling penting adalah final menentang Real Madrid di Cardiff.

“Saya mahu pemain menge­kalkan standard pada perlawanan itu.

“Karier saya di sini mungkin tidak panjang dan saya boleh pergi pada bila-bila masa, namun pemain-pemain yang saya miliki ini boleh memahat nama sebagai legenda dan meninggalkan legasi jika berjaya menghadiahkan gelaran Eropah,” kata Allegri.

Kemenangan Juventus ke atas pasukan yang tersingkir ke divisyen kedua, Crotone membolehkan mereka mengumpul 88 mata dalam 37 perlawanan, meninggalkan Roma yang me­ngutip 84 mata selepas me­ngalahkan Chievo 5-3, kelmarin.

Napoli menduduki tempat ketiga selepas ketinggalan satu mata di belakang Roma, dan mereka melengkapkan slot ke kelayakan Liga Juara-Juara.

Juventus yang menjadi pasukan paling cemerlang di Itali dengan merangkul ke-33 gelaran liga keseluruhan membuka jaringan seawal minit ke-12 menerusi tendangan jarak dekat penyerang veteran Croatia, Mandzukic.

Penyerang Argentina, Dybala menggandakan kedudukan 2-0 pada minit ke-39 hasil sepakan bebas.

Ketika saingan tinggal tujuh minit untuk ditamatkan, tandukan Sandro melengkapkan kemenangan 3-0. – AGENSI