Bekas kapten Jerman itu hanya beraksi dalam kesebelasan utama buat kali kedua bersama Bayer Leverkusen kelmarin sejak patah kaki September lalu.

Namun, dia digantikan pada minit ke-67 ketika pasukannya tewas 1-0 kepada Nuremberg.

Ballack dilihat amat susah hati selepas jurulatih Leverkusen, Jupp Heynckes menggantikannya dengan penyerang Switzerland, Eren Derdiyok.

Pemain tengah itu bagaikan memberi isyarat mahu terus beraksi untuk membolehkannya merebut tempat dalam skuad kebangsaan biarpun jurulatih Jerman, Joachim Loew seperti sudah tidak memerlukan lagi khidmat bekas ketua pasukannya itu.

Jumaat lalu, Loew membuat keputusan untuk tidak memanggil Ballack menyertai senarai 22 pemain yang akan berdepan juara Piala Dunia 2006, Itali dalam perlawanan persahabatan di Dortmund Rabu ini.

Kurang cergas dan kejayaan Jerman mara ke separuh akhir Piala Dunia tahun lepas tanpa khidmatnya, mungkin salah satu faktor Ballack tidak terpilih.

Begitupun Loew berkata, dia akan berbincang dengan Ballack mengenai masa depannya sebelum perlawanan kelayakan Euro 2012 menentang Kazakhstan, bulan depan.

Ballack dihimpit kekecewaan tahun lalu apabila Chelsea mengambil keputusan untuk tidak menyambung kontraknya dan dia kembali ke Liga Jerman dengan menyertai Leverkusen pada Julai lalu.

Bagaimanapun sejak kembali ke liga negaranya, pemain berusia 34 tahun itu masih gagal menarik perhatian jurulatih kebangsaan.

"Semua orang tahu Michael seperti kehilangan sesuatu apabila dia beraksi buat pertama kali dalam tempoh 90 minit sejak sembuh dari kecederaan panjang.

"Dia masih mencari rentak dan telah menunjukkan peningkatan yang baik.

"Jika semuanya berjalan seperti yang diharapkan kita akan berbincang dengannya pada Mac depan untuk melihat bagaimana peluangnya selepas ini," kata Loew. - AFP

Ketika Ballack mengambil masa untuk sembuh dari kecederaan ligamen lutu, pemain Real Madrid, Sami Khedira dan bintang Bayern, Bastian Schweinsteiger berjaya membentuk gandingan mantap di bahagian tengah Jerman pada Piala Dunia.

Tanpa Ballack di bahagian tengah, Loew menggunakan pemain sayap, Thomas Mueller dari Bayern dan seorang lagi pemain Real, Mesut Ozil bagi menambah sengat Jerman.

Keserasian keempat-empat pemain itu membolehkan Jerman membelasah England dan Argentina sebelum tunduk kepada Sepanyol di separuh akhir. - AFP