Dua akhbar utama Argentina, La Nacion dan Clarin memetik Maradona sebagai berkata: "Saya akan ke England pada Februari depan untuk mendengar tawaran sebuah firma."

"Jika mereka dapat menyakinkan saya, mungkin saya akan terima," kata bekas jurulatih Argentina itu, ketika lawatan ke resort Punta del Este di Uruguay.

Maradona, 50, bagaimanapun tidak memberikan gambaran kelab mana yang dimaksudkan.

Clarin melaporkan, sumber yang rapat dengan Maradona menyatakan bahawa kelab terbabit adalah Fulham.

"Saya bukannya terdesak (tapi) saya tahu satu hari nanti saya akan kembali sebagai jurulatih untuk sesebuah pasukan," Maradona memberitahu satu sidang akhbar.

Maradona menganggur semenjak pemecatan kontroversi berikutan kekalahan memalukan 0-4 kepada Jerman pada suku akhir Piala Dunia tahun lalu.

Sejak itu, media membuat spekulasi berhubung masa depan kapten juara Piala Dunia 1986 itu, termasuk laporan tiada pengesahan mengenai tawaran daripada Aston Villa. - Reuters