Perancang River Plate berusia 36 tahun itu, yang meraih penampilan terakhir daripada 86 kali pada 2003, disenaraikan dalam skuad 17 pemain berpangkalan di dalam negara untuk menentang Haiti di Cutral Co di wilayah selatan Andean, Neuquen pada 5 Mei ini.

"Yang nyata, ini adalah kegembiraan besar apabila saya disenaraikan ke dalam pasukan kebangsaan, yang tertinggi pernah saya alami dalam bola sepak," kata Ortega yang bermain pada Piala Dunia 1994, 1998 dan 2002, pada satu sidang akhbar selepas satu latihan di River Plate.

"Setelah sekian lama tidak menyarung jersi kebangsaan, ia sesuatu yang indah, unik. Saya tahu ini tidak bererti saya akan ke Piala Dunia kerana jurulatih bekerja dengan pemain lain dan ia tidak mengapa.

"Saya berterima kasih kepada (Maradona) kerana menimbangkan saya untuk bermain perlawanan ini," katanya.

Maradona turut memasukkan penyerang Boca Juniors, Martin Palermo, bagi aksi pemanas badan ke pusingan akhir di Afrika Selatan yang bermula 11 Jun di mana Argentina menghadapi Nigeria, Korea Selatan dan Greece dalam Kumpulan B.

Ortega merupakan salah seorang daripada lebih 100 pemain yang dipanggil Maradona sepanjang 18 bulan, sejak melatih skuad berkenaan.

Ortega kembali ke skuad kebangsaan selepas kekecohan beberapa hari lalu, melibatkan pemain cilik yang dikenali sebagai 'Burrito' (keldai), yang bergaduh dengan pertahanan Estudiantes, Leandro Desabato ketika perlawanan liga River, Sabtu lalu sebelum keretanya berlanggar ketika dalam perjalanan untuk berlatih Isnin lalu.

Desabato memanggil Ortega pemabuk, kerana masalah arak pemain itu.

Ortega membalas dengan terjahan keras ke atas pemain itu.

Maradona turut memanggil penjaga gol Independiente, Adrian Gabbarini, yang pernah dikaitkan dengan Napoli, buat kali pertama, ketika dia cuba memutuskan seorang penjaga gol ketiga bagi skuad Piala Dunia Argentina. - Reuters