Real Madrid dilaporkan sedang memantau perkembangan Mane dengan sasaran untuk mendapatkan khidmat pemain itu pada musim panas ini selepas Zinedine Zidane meminta secara peribadi menandatangani pemain antarabangsa Senegal itu.

Mane kini berada pada prestasi terbaiknya bersama Liverpool pada kancah Liga Perdana Inggeris, selepas meledakkan 10 gol dalam 12 penampilan terakhirnya. Jaringan terbaharu pemain itu ialah sewaktu membantu Liverpool menewaskan Chelsea 2-0 dan Mane menolak sebarang rundingan untuk membawanya keluar dari kelab itu.

“Sudah tentu saya mahu menjadi legenda, bukan hanya untuk Liverpool tetapi dalam Liga Perdana Inggeris juga. Itu salah satu sasaran saya. Saya akan melakukan apa sahaja bagi merealisasikan impian tersebut. Mencapai perlawanan ke-100 amat bermakna kepada saya.

“Bermain dalam begitu banyak perlawanan bersama kelab seperti Liverpool, ia sesuatu yang menakjubkan. Seperti yang saya katakan, saya sangat gembira bermain bersama kelab ini dan pada setiap hari saya seronok berada di sini, cuba melakukan apa sahaja untuk membantu kelab meraih trofi,” kata Mane kepada majalah LFC. – AGENSI