Bahkan, bintang kelahiran Sedhiou di Senegal itu me­negaskan, dia tidak akan sesekali mengambil minuman keras kerana ia bertentangan dengan agamanya, Islam.

Mane, 25, merupakan anak kepada seorang imam di Se­negal.

Dibesarkan dalam keluarga yang taat kepada agama, dia pada awalnya pernah dihalang untuk menggapai cita-cita menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

“Ibu bapa saya tiada duit untuk menghantar saya ke sekolah. Setiap pagi dan petang, saya pergi bermain bola sepak dengan kawan-kawan di jalanan.

“Semua orang di kampung saya di Bambali mengatakan saya adalah yang terbaik, namun keluarga saya tiada latar belakang dalam bola sepak. Kami berpegang kuat kepada agama Islam.

“Mereka tidak mahu saya menyertai bola sepak yang dianggap tidak islamik dan me­nyuruh saya memilih haluan lain.

“Namun disebabkan dalam fikiran dan hati saya hanya ada bola sepak, jadi saya berusaha meyakinkan keluarga sebelum mereka merestui saya untuk pergi ke Dakar,” jelasnya.

Pada usia 15 tahun, Mane membuat perjalanan sejauh 500 kilometer menghala utara ke Dakar semata-mata mahu mengejar impiannya.

“Saya tinggalkan kampung halaman dan menuju ke ibu negara bersama bapa saudara bagi menyertai pemilihan di salah sebuah akademi bola sepak.

“Setibanya di sana, saya te­ngok ramai budak lelaki sedang menjalani ujian dan ada yang sudah melepasi saingan pertama selain mendapat tempat ke akademi.

“Ada perkara melucukan dan tidak mungkin saya lupakan. Semasa sedang menunggu giliran, ada seorang lelaki yang sudah berumur memerhatikan saya seperti saya berada di tempat yang salah.

“Dia tanya saya, ‘adakah anda ke sini untuk menjalani ujian?’ Saya kata ya.

“Dia tanya lagi, ‘dengan kasut sebegini? Tengoklah, bagaimana anda boleh bermain menggunakannya? Kasut ini sangat teruk, kotor dan koyak’.

“Tambah dia lagi, ‘dengan seluar pendek ini? Kamu tidak mempunyai seluar pendek yang betul?’,” cerita Mane.

Jelas ayam tambatan Senegal itu, dia kemudian menunjukkan kemampuan di atas padang setiba gilirannya.

“Saya boleh nampak muka dia terkejut. Dia datang kepada saya dan berkata, ‘saya mahukan kamu.

Kamu boleh bermain bersama pasukan saya’. Perjalanan bola sepak saya bermula dari akademi bola sepak Senegal, Generation Foot,” ujarnya.

Kini, Mane menjadi tonggak bukan sahaja di Liverpool, malah di negaranya.

Bintang tengah berusia 25 tahun itu hari ini adalah wira apabila membantu kemaraan Senegal ke Piala Dunia 2018 di Rusia selepas menewaskan Afri­ka Selatan 2-0 dalam aksi kelayakan.