Akhbar The Sunday Express mendakwa, Barca sudah tidak sanggup untuk memenuhi tuntutan gaji bintang Argentina itu yang mencecah 650,000 pound (RM3.57 juta) seminggu dan City percaya mereka mampu mencapai kata sepakat untuk mendapatkan Messi.

Difahamkan, City akan memberikan Pep Guardiola sekitar 200 juta pound (RM1.1 bi­lion) untuk berbelanja dan Messi berkemungkinan akan menjadi antara sasaran utama pada musim panas ini.

Sejurus selepas tersingkir daripada saingan Liga Juara-juara kepada Monaco awal minggu ini, terdapat laporan menyatakan masa depan 18 pemain utama di dalam pasukan itu berada dalam keadaan samar-samar.

Bagaimanapun, Guardiola menegaskan, dia tidak akan me­lakukan rombakan besar-besaran pada penghujung musim ini.

“Mereka membuat laporan mengenai perlawanan kami menentang Monaco dan mereka berkata kami akan menukar 12 ke 13 pemain.

“Saya memberikan jaminan bahawa perkara itu sukar untuk dilakukan sekarang.

“Awak perlu ada rasa tanggungjawab dan bayangkan bagaimana menjadi sebuah kelab.

“Sebanyak 13 pemain memiliki kontrak dan berkemungkinan awak perlu membayar mereka untuk ke sana, membayar gaji mereka dan mengeluarkan belanja 40 juta pound (RM220.08 juta) atau 50 juta pound (RM275.10 juta) untuk setiap pemain, jadi kami perlu berbelanja sebanyak 500 juta pound (RM2.75 bilion) atau 600 juta pound (RM3.3 bi­lion), itu adalah mustahil,” kata Guardiola. – AGENSI