Bagaimanapun, Harimau Selatan perlu menyediakan perancangan rapi bagi menghadapi PJ City FC yang memiliki reputasi selaku pembunuh gergasi apabila mengikat Pahang 1-1 dalam aksi terakhir liga, minggu lalu.

Bekas penyerang JDT, Safee Sali juga akan menjadi senjata sulit PJ City untuk menghadapi Harimau Selatan.

Bagi JDT, gandingan Diogo Luis Santo, Safawai Rasid dan Gonzalo Cabrera sekali lagi menjadi sandaran mengetuai jentera.

Selain aksi JDT-PJ City, pertembungan Melaka United dan PKNP di Manjung turut menjadi tumpuan, apatah lagi skuad Sang Kancil masih gagal me­nunjukkan aksi meyakinkan biar­pun ber­belanja besar musim ini.

Melaka gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan terakhir apabila seri 0-0 (Liga Super) dengan Perak, tewas mengejut 2-3 (Piala FA) kepada PKNS dan dikecewakan Selangor 3-4 dalam aksi Liga Super minggu lalu.

Satu lagi kekalahan pasti sukar diterima, namun PKNP FC yang kini berada pada prestasi terbaik sudah bersedia menghukum lawan mereka.

“Sebelum ini, kami bergelut dengan masalah prestasi namun dua kemenangan yang diraih dalam aksi terakhir memboleh­kan kami mengubah kedudukan dalam liga.

“Kami berjaya meledak enam gol dan cuma bolos satu gol, jadi kami mahu mengekalkan ­prestasi,” kata jurulatih PKNP, ABu Bakar Fadzim.

Kuala Lumpur yang mencatat kemenangan pertama ketika mengejutkan Kedah minggu lalu bersedia meneruskan momentum apabila bertemu Felda ­United di Stadium Tun Abdul Razak Jengka esok.