FAM menerima tampuk ke­pimpinan baharu apabila Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dilantik untuk menduduki kerusi No. 1 badan induk tersebut pada Mac lalu mengambil langkah drastik apabila melantik Nelo Vingada mengendali Harimau Malaya pada 15 Mei lalu.

Bagaimanapun pelantikan tersebut masih belum mampu untuk mengubah nasib bola sepak tempatan apabila jurulatih dari Portugal itu gagal me­lakar kemenangan sepanjang membimbing Malaysia malah tersingkir daripada Kelayakan Piala Asia 2019.

Akibatnya Malaysia merosot ke tempat ke-174 dunia dalam ranking terbaharu yang dikeluarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) iaitu rekod terburuk pasukan negara.

Entah di mana silapnya, meskipun mengimport pakar dari luar FAM masih gagal untuk mengubah landskap bola sepak tempatan dan kini mengharapkan kembali khidmat jurulatih tempatan apabila melantik Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih baharu.

Pastinya pelantikan itu se­dikit sebanyak menenangkan penyokong Harimau Malaya yang dahagakan kemenangan tambahan pula tugasan Malaysia pada tahun depan adalah Piala AFF serta menamatkan baki satu perlawanan kelayakan Piala Asia 2019.

Bagaimanapun, ketika suasana suram menyelubungi skuad senior, pasukan bawah 22 (B-22) negara hadir memberi sinar harapan baharu kepada peminat bola sepak tanah air apabila berjaya merangkul pi­ngat perak dalam Sukan SEA 2017 pada Ogos lalu.

Skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu semakin mendapat perhatian apabila mereka berjaya menempah tiket ke pu­singan akhir Kejuaraan B-23 AFC 2018 yang bakal berlangsung di China pada Januari ini.

Malaysia diletakkan dalam Kumpulan C bersama juara edisi 2013 Iraq, Arab Saudi serta Jordan pastinya akan mendapat penga­laman berguna yang boleh dimanfaat pemain sekiranya khid­mat mereka diperlukan skuad senior.

Selain mereka, skuad bawah 19 (B-19) negara turut mempamerkan aksi memberangsangkan apabila berjaya muncul naib juara Kejuaraan B-18 AFF 2017 selepas tewas kepada Thailand di Yangon, Myanmar pada 17 September lalu.

Skuad kendalian Bojan Hodak itu turut layak ke pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 yang akan berlangsung di Indonesia pada tahun depan. Tidak ketinggalan skuad futsal negara yang meraih perak dalam Sukan SEA 2017 serta layak ke pusingan akhir Kejuaraan Futsal AFC 2018 di Taiwan pada Februari depan.