Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam satu kenyataan sebentar tadi mengesahkan skuad bimbingan Datuk Ong Kim Swee itu gagal menempatkan diri dalam kalangan empat naib juara terbaik pada kempen kelayakan.

Slot tersebut sebaliknya diisi Australia, Iran, Syria dan Tajikistan.

Malaysia sebelum itu hampir meraih tiket automatik selepas mendahului China 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan J, kelayakan Kejuaraan AFC B-23 di Stadium Shah Alam.

Bagaimanapun jaringan Jiang Shenglong enam minit sebelum tamat permainan meranapkan impian anak-anak buah Kim Swee untuk mengutip tiga mata apabila sekadar seri 2-2.

Biarpun berkongsi tujuh mata bersama China hasil dua kemenangan dan satu seri, namun jurang gol besar yang dimiliki skuad bimbingan Guus Hiddink membolehkan mereka muncul juara kumpulan.

Kegagalan ini pasti mengecewakan pasukan negara yang cemerlang mara ke suku akhir dalam penampilan sulung di China, tahun lalu.

Ia juga meranapkan impian mereka untuk meraih tiket ke Sukan Olimpik 2020 di Tokyo. - UTUSAN ONLINE