Skuad bawah 23 tahun negara berterima kasih kepada pemain Vietnam, Mai Xuan Hop yang tertampan masuk hantaran lintang Norshahrul Idlan Talaha pada minit ke-83 di Stadium Utama Kompleks Sukan Nasional, Vientiane.

Kemenangan itu menebus kekalahan awal kepada Vietnam 3-1 dalam Kumpulan A namun mereka masih mampu bangkit menghampakan juara bertahan Thailand 2-1 serta melepasi separuh akhir dengan menyingkirkan tuan rumah 3-1.

Emas milik skuad bimbingan (Datuk) K. Rajagobal ini juga merupakan yang pertama untuk Malaysia sejak bola sepak Sukan SEA dijadikan persaingan untuk pemain berumur bawah 23 tahun mulai Kuala Lumpur 2001.

Ketika kali terakhir Malaysia memenanginya di Kuala Lumpur 1989, saingannya masih terbuka kepada skuad senior.

Empat jaringan Ahmad Fakri Saarani menjadikannya penjaring ketiga terbanyak temasya ini diikuti masing-masing tiga oleh Baddrol Bakhtiar, Safiq Rahim dan Norshahrul.

Turut menjaringkan satu gol ialah Abdul Manaf Mamat, Aidil Zafuan Radzak, Amar Rohidan, Zaquan Adha Radzak, Nasriq Baharom dan S. Kunanlan serta Amirulhadi Zainal.

“Kemenangan ini amat besar maknanya. Kita berjaya memberikan kejayaan yang dinanti-nantikan sekian lama. Ini hadiah untuk rakyat Malaysia,” kata Rajagobal.