Anak-anak buah Kim Swee memerlukan jaringan lewat permainan Safawi Rasid untuk menumpaskan Laos, pasukan yang sebelum ini dibelasah 5-0 oleh China dalam aksi pembukaan, Jumaat lalu.

China juga membelasah Filipina 8-0 dalam perlawanan keduanya semalam, biarpun tidak menurunkan sebahagian besar tonggak utama kerana mahu memberi rehat mencukupi kepada mereka.

“Sudah tentu kita perlukan strategi yang ampuh, China sebuah pasukan yang hebat dan mereka mencatat 13 gol keseluruhan. Itu menunjukkan betapa bagusnya mereka. Perlawanan esok tidak mudah tetapi bukan mustahil.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, mereka pasukan yang hebat sementara kita cuma sederhana, namun kadangkala pasukan sederhana juga boleh mencipta kejutan. Apa yang penting kita turun menentang China dengan satu objektif, iaitu kita perlu menang untuk layak secara automatik,” kata Kim Swee.

Kim Swee merehatkan Safawi dan Nik Syahiran Nik Mat dalam kesebelasan utama menentang Laos kerana mahu memastikan pasukan terbaik diturunkan menentang China di Stadium Shah Alam.

Menurutnya Kim Swee, China yang dikendalikan bekas pengurus Real Madrid dan Chelsea, Guus Hiddink, menampilkan keazaman tinggi dalam dua perlawanan sebelum ini yang dibuktikan menerusi pesta gol mereka termasuk lapan yang diledakkan dalam pertemuan dengan Filipina.

“Mungkin di atas kertas nama China lebih besar berbanding Malaysia tetapi apa-apa keputusan hanya akan ditentukan esok. Kita sebagai satu pasukan perlu bagi kerjasama dan perlu lebih berdisiplin. Kita akan cuba berikan yang terbaik,” katanya. - UTUSAN ONLINE