Luqman Hakim Shamsudin menjadi bintang tumpuan apabila meledak empat gol, sekali gus meletakkan Malaysia di landasan terbaik untuk memburu tiket Piala Dunia Bawah 17 (B-17) di Peru, tahun depan.

Begitupun di sebalik kemenangan bergaya yang dilakar skuad muda negara, mereka terpaksa membayar harga tinggi apabila penjaga gol, Sikh Izhan Nazrel dilayangkan kad merah, sekali gus bakal diketepikan dalam perlawanan kedua menentang Thailand, Ahad ini.

Pasukan negara, yang turut diundi bersama Jepun meledak gol seawal minit kelima menerusi Muhd. Hariz Mansor namun dibatalkan pengadil kerana dia berada dalam posisi ofsaid.

Bagaimanapun, Malaysia tidak melakukan kesilapan pada minit ke-29 apabila Luqman menyempurnakan hantaran Muhd. Najmudin Akmal dalam kotak penalti untuk memulakan pesta jaringan.

Najmudin kemudian menjadikan kedudukan 2-0, dua minit kemudian menerusi sepakan penalti selepas Luqman dijatuhkan oleh penjaga gol lawan, Khasanov Mukhriddin.

Luqman melebarkan kedudukan 3-0, empat minit sebelum tamat separuh masa pertama selepas menyudahkan hantaran Umar Hakeem Suhar.

Sebaik sahaja bersambung babak kedua, Luqman melengkapkan hatrik pada minit ke-46 dengan menolak bola ke gawang kosong, sebelum melengkapkan gol peribadi keempat yang juga jaringan kelima Malaysia pada minit ke-66.

Selepas ketinggalan 0-5, Tajikistan cuba memberi tentangan apabila memperoleh gol pertama menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Rahmatov Sharifbek pada minit ke-72, namun jaringan itu tidak mematahkan semangat pasukan negara untuk menambah gol.

Malaysia dihadiahkan penalti kedua selepas Amirul Azzim Ruzki dijatuhkan pemain lawan, dan Muhd. Alif Mutalib menyempurnakan sepakan untuk kedudukan 6-1 pada minit ke-76.

Dua minit sebelum tamat permainan, Malaysia menerima tamparan apabila Sikh Izhan dibuang padang kerana mengasari Soirov Rustam, dan lebih buruk pasukan negara sudah menggunakan tiga pemain gantian, sekali gus memaksa Hariz menjadi penjaga gol sementara.

Meskipun Hariz berjaya menepis tendangan penalti Zairov Islam namun percubaan susulannya berjaya menembusi gawang Malaysia untuk kedudukan 6-2. - UTUSAN ONLINE