Debaran tersebut hadir pada ketika Malaysia nyaris meraikan kemaraan mereka ke pentas akhir buat kali keempat setelah bola terkena tangan Syahmi Safari sewaktu cuba mengasak tandukan Adisak di udara, membolehkan Thailand dihadiahkan sepakan penalti.

Sama ada gemuruh atau tekanan menyelubungi penyerang tersebut, tendangan penalti Adisak bagaimanapun tersasar jauh ke atas gawang yang dikawal penjaga gol negara, Farizal Marlias sekali gus menutup tirai debaran kedua-dua pasukan.

Satu kegagalan tersebut sudah pasti mencalar rekod Adisak yang setakat ini masih kekal sebagai penjaring terbanyak kejohanan tersebut dengan lapan gol.

Terdahulu, skuad Gajah Perang berada di depan hasil jaringan sendiri pemain gantian, Irfan Zakaria pada minit ke-21 sebelum tujuh minit kemudian bek kanan Syahmi menghidupkan semula harapan Malaysia.

Pansa Hemviboon kemudian meletakkan Thailand kembali di depan pada minit ke-63, namun pemain veteran Norshahrul Idlan Talaha semula meletakkan Harimau Malaya di landasan ke pentas akhir lapan minit berselang.

Malaysia bakal menerima kunjungan sama ada Vietnam atau Filipina dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa depan.- UTUSAN ONLINE