Itu merupakan perlawanan pertama skuad kebangsaan di pentas antarabangsa pada tahun ini, namun usaha Cheng Hoe untuk menghadiahkan kemenangan kepada peminat bola sepak tempatan tidak kesampaian.

Lebih memalukan, keputusan itu tidak mencerminkan landskap bola sepak tempatan yang sudah pun memasuki era profesional kerana difahamkan pemain Mongolia beraksi secara semi-pro apabila ada dalam kalangan mereka yang be­kerja separuh masa serta pelajar.

Ini bukan kali pertama Malaysia gagal melakar kemenangan ke atas pasukan semi-pro kerana sebelum ini Malaysia pernah terikat seri tanpa jaringan bertemu Macau dalam aksi persahabatan di Melaka pada 29 Mac 2016.

Sementara itu, Malaysia terpaksa menanti hingga minit ke-31 untuk menembusi gawang Mongolia apabila kapten lawan, Turnat Daginaa tertanduk bola ke gawang sendiri, hasil sepakan sudut Safawi Rasid.

Bagaimanapun, Mongolia yang hanya sekali-sekala melakukan asakan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-42 menerusi percubaan Enkhbileg Purevdorj yang memanfaatkan kesilapan benteng pertahanan pasukan kebangsaan.

Bersambung babak kedua, Akhyar Rashid yang menggantikan Mahali Jasuli kembali meletakkan Harimau Malaya di depan apabila rembatannya gagal diselamatkan oleh Enkhtaivan pada minit ke-65.

Bagaimanapun, Mongolia berjaya menyamakan kedudukan menerusi rembatan bola mati Gangkhuyag Ser-Od-Yanjiv pada minit ke-72 menewaskan penjaga gol skuad kebangsaan, Haziq Nadzli. Malaysia cuba melakukan asakan bertali arus pada minit-minit terakhir per­mainan, namun usaha mereka untuk memburu kemenangan gagal.

Kali terakhir Malaysia mencipta kemenangan di pentas antarabangsa adalah menewaskan Kemboja 3-2 dalam aksi Kumpulan B Piala AFF pada 20 November 2016 ketika pasukan di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee.